comscore
Tumpuan :
Nasional

Peserta Gaza Freedom Flotilla dari Malaysia tiba di Istanbul

ISTANBUL: Kesemua 19 peserta dari Malaysia yang menyertai misi “Break the Seige of Gaza Freedom Flotilla” tiba di Istanbul, Turkiye pada 2.47 petang semalam (waktu tempatan).

Kesemua mereka dijadual berada di Istanbul selama dua hari bagi menyertai latihan tanpa kekerasan yang dikendalikan Freedom Flotilla Coalition (FFC) sebagai syarat utama sebelum menyertai misi menghantar bantuan ke Gaza.

Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCare) Datuk Seri Dr Kamal Nasharuddin Mustapha berkata peserta akan menjalani latihan itu selama dua hari bermula esok.

“Alhamdulillah, rombongan FFC dari Malaysia telah selamat tiba di lapangan terbang Istanbul setelah melalui perjalanan selama 11 jam.

“Kami semua sihat ceria dan bersemangat, insya-Allah akan menjalani latihan tanpa kekerasan itu pada Jumaat dan Sabtu.

“Doakan agar misi ini berjaya menyampaikan bantuan kepada saudara kita di Gaza dan misi ini selamat,” katanya kepada Bernama.

Selain Kamal Nasharuddin, turut serta dalam misi itu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif MyCare Kamarul Zaman Shaharul Anwar serta dua Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCare iaitu Dr Fauziah Mohd Hasan dan Norsham Abu Bakar.

Selasa lepas, MyCare mendedahkan tiga kapal akan belayar pada April ini terdiri daripada satu kapal kargo 5000 tan dan dua kapal penumpang yang boleh memuatkan lebih 1,000 orang.

Kapal-kapal ini akan membawa bantuan kemanusiaan yang mendesak seperti ubat-ubatan, pek makanan, pakaian, khemah perlindungan dan beberapa kenderaan termasuk lapan ambulans.

Antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang terlibat ialah MyCare, Insani Yardim Vakfi (IHH), Ship to Gaza Norway, Rumbo A Gaza, US Ship to Gaza, Sweeden ship to Gaza, Canadian boat to Gaza, Freedom Flotilla Italia, Kia Ora to Gaza, Palestine Solidarity Alliance, Mavi Marmara Freedom and Solidarity Association, Miles of Smiles dan Free Gaza Australia. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini