comscore
Tumpuan :
Nasional

Pihak Bomba giat lakukan pemantauan ketidaktentuan cuaca di Selangor

Foto hiasan

Oleh: Fahmi Tajuddin

SHAH ALAM: Jambatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor bersiap siaga dan memantau rapat ketidaktentuan keadaan cuaca yang melanda beberapa daerah di negeri ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, ia susulan daripada cuaca panas hingga menyebabkan kebakaran terbuka dan hujan lebat yang menyebabkan banjir melanda beberapa kawasan di Selangor kebelakangan ini.

“Di Selangor, kita dapati cuaca akhir-akhir ini agak tidak menentu, sebelah pagi dan petang pun boleh hujan lebat.

“Kalau cuaca panas yang menyebabkan kebakaran hutan memang kita dah siap sedia di Selangor, teruatama di beberapa hotspot seperti di Kuala Langat, Hutan Simpan Raja Musa, Johan Setia dan kawasan Hulu Selangor,” ujarnya kepada pemberita selepas menghadiri Program Latihan Amal Pra Insiden Kebakaran di AEON Shah Alam semalam.

Mengulas berkenaan situasi banjir yang menenggelami beberapa lokasi di Selangor pada Isnin, beliau berkata ketika ini dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih dibuka menempatkan lebih 400 orang mangsa banjir di Sungai Buloh dan Kuala Selangor.

“Dua PPS masih dibuka dan dalam pemantauan pihak JBPM. Bagaimanapun kita dapati sejak tengahari ini keadaan (banjir) mulai surut,” katanya.

Dua PPS tersebut adalah PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau Sempak dan PPS Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

Sementara itu, beliau menyifatkan banjir yang berlaku di beberapa lokasi di Selangor adalah kesan daripada fenomena air pasang, ditambah pula dengan keadaan hujan lebat berpanjangan.

“Fenomena air pasang juga mempengaruhi keadaan fenomena banjir dan agak tidak menentu.

“Baru minggu lepas berlaku air pasang berukuran 5.7 meter, tapi tak jejaskan apa-apa. Tapi kalau ia bertembung dengan hujan lebat, kita siap siaga,” tambahnya.

Tegasnya lagi, pihak JBPM Selangor sudah bersiap siaga dengan kawalan dan langkah intervensi terhadap sebarang kemungkinan fenomena air pasang dan hujan lebat serta fenomena cuaca panas yang berpotensi melanda negeri ini pada bila-bila masa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini