comscore
Tumpuan :
Nasional

PM mahu warga Imigresen bekerja satu pasukan, niat ikhlas

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta warga Jabatan Imigresen (JIM) untuk bekerja sebagai satu pasukan untuk membawa perubahan seiring konsep Malaysia MADANI.

Beliau mahu mereka melaksanakan tugas dengan niat ikhlas dan menghentikan amalan tidak wajar sehingga mencalar imej jabatan berkenaan.

“Kelemahan ini di semua (jabatan), di Jemaah Menteri, saya selalu tegur menteri-menteri bahawa harapan menggunung (rakyat) kerana kerajaan ini adalah kerajaan pembaharuan, kerajaan ‘reform’, kerajaan MADANI yang harus ada anjakan, tidak boleh kekal macam dulu,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri MADANI JIM, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh.

Menyifatkan dirinya sebagai ‘bapa’ kepada kerajaan, Datuk Seri Anwar berkata, warga JIM yang menjalankan tugas dengan bertanggungjawab tidak seharusnya terguris dengan teguran tegasnya.

Pada masa sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada Datuk Ruji dan Datuk Ruslin bersama keluarga JIM yang berusaha mengambil langkah untuk memperbaiki kelemahan dan kesilapan yang dilakukan sebilangan kecil kakitangan jabatan itu.

“Umpamanya kehadiran pelancong (berlaku) peningkatan pelancong 80 peratus dari beberapa buah negara (beberapa bulan lalu), itu maknanya jumlah besar dan mengejutkan. Kalau kita beri alasan kita dah cekap tapi orang tunggu dua, tiga jam, itu masalah negara kita.

“Saya merayu, kadang-kadang menegur, menggesa, lagi tinggi jawatan ketua pengarah lagi teruk kena. Saya pun kena juga, sebab bila orang tengok, Perdana Menteri cakap soal ‘reform’, kecekapan, ‘strive for excellence’ (berusaha untuk kecemerlangan) tapi datang ke KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) kena tunggu dua jam.

“Saya anggap ini sebagai cabaran dan sebab itu saya harap saudara yang betul-betul (bertanggungjawab), jangan tersinggung (dengan teguran),” katanya.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Anwar berkata, beliau bersama pimpinan kerajaan termasuk pasukan JIM akan sedaya upaya membawa perubahan kepada negara.

“Dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, saya mesti bawa mukadimah (dengan) tegur sana, tegur sini, tapi saya anggap (kita) sebagai pasukan walaupun parti lain-lain.

“UMNO pun ada, PKR, DAP, GRS (Gagasan Rakyat Sabah), GPS (Gabungan Parti Sarawak) ada tapi mereka mewakili parti di luar, dalam kerajaan kita satu pasukan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini