comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK KKB: Saingan dijangka tiga penjuru

HULU SELANGOR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu yang membuka tirainya esok, dijangka menyaksikan saingan sekurang-kurangnya tiga penjuru dengan enam borang pencalonan sudah dibeli setakat ini.

Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selangor, Kamarul Azman Ahmad Sabri, berkata ini berdasarkan jumlah borang penamaan calon bagi PRK DUN Kuala Kubu Bharu yang dibeli beberapa parti politik dan individu persendirian sehingga jam 12.30 tengah hari semalam.

Beliau berkata, semua borang berkenaan dibeli BERSATU, Pakatan Harapan (PH) dan calon Bebas.

“Sebanyak dua borang penamaan calon dibeli BERSATU, diikuti satu borang oleh PH dan tiga daripada calon Bebas.

“Setakat ini, calon daripada PH sudah membuat pembayaran deposit, manakala BERSATU difahamkan akan membuat transaksi berkenaan pada hari ini,” katanya.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, mendiang menewaskan Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.

Turut bertanding calon MUDA, Dr Siva Prakash mendapat 1,186 undi dan Chng Boon Lai dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) memperoleh 527 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon esok diikuti hari pengundian pada 11 Mei, membabitkan peruntukan bernilai RM2.5 juta.

Seramai 760 petugas dilantik bagi mengendalikan proses PRK DUN Kuala Kubu Bharu, manakala 18 pusat mengundi biasa, membabitkan 74 tempat mengundi atau saluran dan dua pusat mengundi awal (tiga tempat mengundi atau saluran awal) akan digunakan.

Selain itu, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) akan digunakan untuk PRK DUN Kuala Kubu Bharu adalah daftar pemilih terkini hingga Daftar Pemilih Tambahan Februari 2024 yang dikemas kini sehingga 25 Mac lalu.

Ia membabitkan 40,226 orang pemilih, masing-masing 39,362 pengundi biasa, manakala tentera dan pasangan (238), polis (625) dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini