comscore
Tumpuan :
Nasional

Rebut peluang dalam industri penyelidikan klinikal – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Oleh: Hilmi Abdul Malik 

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu merebut peluang dalam industri penyelidikan klinikal selain perlu menghapuskan segala birokrasi melibatkan usaha ke arah itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, matlamat itu mampu menjadikan industri penyelidikan klinikal negara bertambah maju.

Bagaimanapun objektif itu katanya sukar dicapai sekiranya wujud birokrasi terhadap perniagaan melibatkan industri berkenaan.

“Peluang pelaburan untuk industri penyelidikan klinikal mesti dipermudahkan dalam memastikan industri kekal relevan dan selari dengan keperluan semasa.

“Kerajaan Malaysia mengiktiraf cadangan untuk menjadikan negara ini sebagai hab serantau dalam kajian klinikal global,” katanya.

Anwar berkata demikian menerusi ucapannya yang dibacakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di Forum Kajian Klinikal Malaysia hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menghargai pelaburan yang telah dibuat dalam bidang berkenaan selain akan terus berusaha untuk memberikan nilai tambah dalam kalangan pelabur.

“Pasaran klinikal global merekodkan sebanyak 80 bilion Dolar Amerika pada 2023 dan sebahagian besarnya tertumpu di rantau Asia Pasifik terutamanya China, Korea Selatan, Jepun, dan Australia,” katanya lagi.

Menurut Perdana Menteri, perkembangan yang berterusan dalam industri berkenaan juga bakal mencipta pelbagai peluang pekerjaan khususnya bagi tenaga kerja mahir selain membuka ruang terhadap sektor lain untuk turut berkembang.

“Disinilah terdapat lebih ramai tenaga kerja mahir dicipta untuk menyokong keperluan industri.

“Nilai sosio-ekonomi yang dibawa oleh penyelidikan klinikal telah memberi kesan positif apabila lebih 2,700 pekerjaan mahir direkodkan pada tahun lepas,” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini