comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

Rumah kayu berusia hampir 90 tahun masih jadi tarikan

Sebuah rumah kayu berusia 88 tahun di Kampung Chengal, Batu Satu, Jalan Temerloh-Mentakab di Temerloh kelihatan masih kukuh dan menarik perhatian ramai. – FOTO: NSTP

TEMERLOH: Sebuah rumah kayu di Kampung Chengal, Batu Satu, Jalan Temerloh-Mentakab di sini pasti menarik perhatian mereka yang melewati laluan itu.

Rumah berusia 88 tahun itu sarat dengan ciri tradisional masyarakat Melayu Kampar yang berasal dari Riau, Sumatera.

Rumah ini yang dikenali sebagai ‘Rumah Warisan Tok Taib dan Nayan’ kini didiami generasi ketiga dan keempat keluarga terbabit.

Cucu Tok Taib, Anisah Ramli, 62 berkata rumah itu sudah berusia 88 tahun, dibina oleh arwah datuknya, Taib Abdullah pada 1936 sebelum meninggal dunia enam tahun kemudian dan diwarisi oleh ayahnya, Ramli.

Idham Khalid Ramli (dua kiri) bersama isterinya, Rusnita Abdullah (kanan) serta anak mereka menunjukkan foto asal rumah kayu berusia 88 tahun yang didiami keluarga mereka. – FOTO: NSTP

Menurutnya, arwah datuknya yang berasal dari Kampung Sepunggok, Salor, Bangkinang, Sumatera juga antara pengasas kampung tersebut.

“Seperti yang pernah diceritakan arwah datuk, beliau sendiri menebang kayu-kayu di hutan Kampung Tuala untuk membuat tiang kayu rumah ini.”

“Arwah kemudiannya menggunakan kerbau untuk membawa kayu tersebut ke tapak pembinaan dan proses pemotongan serta pembentukan kayu dilakukan secara manual,” katanya.

Katanya, rumah ini menggunakan kayu cengal serta merbau dan dibina secara pasak tanpa menggunakan paku.

Beliau yang juga anak keempat daripada sembilan beradik berkata sebanyak 12 tiang didirikan dan kekerasan kayu tiang itu dapat dilihat apabila diketuk menggunakan paku akan mengeluarkan percikan api.

Kata Anisah, rumah yang terletak di atas bukit kini didiami adik kelapan, Idham Khalid Ramli, 47 bersama isterinya, Rusnita Abdullah, 42 serta tiga anak mereka.

Katanya, rumah itu juga terselamat ketika banjir besar melanda Pahang pada 1971 serta beberapa siri banjir selepas itu.

“Paras air hanya di bawah lantai ketika itu dan sering kali rumah ini juga menempatkan mangsa banjir sekitar kampung ini.”

“Keunikan rumah ini juga, ia sentiasa sejuk walaupun ketika cuaca panas dan kalau dulu memang tidak perlu gunakan kipas atau penyaman udara,” katanya.

Dalam pada itu, Anisah dan keluarganya mengalu-alukan sumbangan mana-mana pihak bagi tujuan pemuliharaan rumah tersebut yang disifatkan sebagai tarikan di Temerloh.

Sementara itu, Idham yang juga seorang jurujual berkata beberapa pengubahsuaian terhadap rumah tersebut dilakukan beberapa kali dan terakhir pada 1996.

Katanya, beberapa pelajar jurusan seni bina dari beberapa institusi pengajian tinggi telah datang ke rumah tersebut membuat kajian mereka.

“Kali terakhir pada 2008, di mana pelajar dari Politeknik Kuantan meluangkan masa beberapa bulan untuk membuat kajian terhadap rumah ini.”

“Memang ada yang ingat rumah ini tidak dihuni dan ada juga yang datang mengambil gambar kerana tertarik dengan seni bina rumah ini,” kata bapa kepada tiga anak perempuan berusia 18, 15 dan 12 tahun itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini