comscore
Tumpuan :
Nasional

Speaker Dewan Negara terima rawatan susulan, alami masalah kesihatan

 

Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal kini menerima rawatan perubatan di sebuah hospital di sini susulan masalah kesihatan yang dialami ketika berada di Azerbaijan.

Menurut kenyataan pejabat Yang di-Pertua Dewan Negara, beliau tiba di tanah air dari Azerbaijan pada jam 1 pagi tadi setelah berada di negara itu untuk lawatan kerja bermula 29 April lalu dan pulang lebih awal daripada jadualnya.

“Senator mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak di Malaysia dan Azerbaijan yang membantu urusan rawatan beliau di negara itu dan urusan pulang ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih di atas ingatan serta doa untuk kesembuhannya dan menghargai ruang masa yang diberikan kepada beliau dan keluarga sepanjang tempoh rawatan ini,” menurut kenyataan itu hari ini.

Datuk Mutang mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri Forum Dunia mengenai Dialog Antara Budaya yang berlangsung pada 1 Mei sehingga 3 Mei lalu di Baku, Azerbaijan.

Sebelum menghadiri forum tersebut, beliau melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Ilham Aliyev, Perdana Menteri, Ali Asadov dan Speaker Milli Majlis Republik Azerbaijan Sahiba Gafarova serta menghadiri mesyuarat dan taklimat oleh pemain industri di negara itu.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini