comscore
Tumpuan :
Nasional

SPRM tahan dua individu disyaki minta, terima rasuah daripada firma guaman

FOTO: NSTP

MELAKA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka menahan seorang pegawai dan bekas pegawai sebuah bank bagi membantu siasatan meminta dan menerima suapan daripada beberapa firma guaman di sekitar Melaka berjumlah RM316,064.33.

Menurut sumber, kedua-dua suspek berusia 43 dan 35 tahun itu disyaki meminta dan menerima suapan dalam membantu memberikan rujukan kes kepada beberapa firma guaman untuk urusan dokumentasi pinjaman hartanah daripada bank terbabit.

“Siasatan awal SPRM mendapati suspek berusia 43 tahun masih bertugas di Ibu pejabat bank terbabit di Petaling Jaya, Selangor manakala seorang lagi suspek adalah bekas pegawai di cawangan bank sama di Melaka.

“Mereka disyaki melakukan kesalahan antara 2018 hingga 2022,” katanya.

Sumber berkata, kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 6 petang semalam di Pejabat SPRM Melaka bagi tujuan membantu siasatan kes berkenaan.

Sementara itu, Majistret Nabilah Nizam membenarkan kedua-dua suspek direman empat hari bermula hari ini hingga 21 April ini selepas dipohon pegawai penyiasat SPRM bagi melengkapkan siasatan kes itu.

Dalam perkembangan sama, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas kedua-dua suspek dan memaklumkan siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Katanya, seksyen itu memperuntuk hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun jika sabit kesalahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini