comscore
Tumpuan :
Nasional

SPRM tidak kesan penyelewengan, rasuah projek NTC FAM

FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menemui sebarang penyelewengan dan rasuah dalam kes cadangan projek pembinaan Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Putrajaya yang dianggarkan berjumlah RM25 juta.

Menurut sumber, SPRM telah merakam percakapan seramai 14 saksi dan membuat pemeriksaan ke atas 10 premis yang berkaitan dengan tohmahan tersebut.

“SPRM telah menjalankan siasatan ke atas isu melibatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Hasil siasatan ke atas projek pembinaan NTC mendapati peruntukan yang dikeluarkan adalah dari sumber FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa),” katanya.

Sumber berkata, sebanyak tujuh kontraktor dipanggil untuk menyertai tender berkenaan.

Tiga syarikat telah disenarai pendek berdasarkan keupayaan dan tawaran yang ditetapkan serta mengikut spesifikasi FIFA.

Ketiga-tiga syarikat telah dikemukakan kepada FIFA yang bermesyuarat pada 8 April lalu dan telah melantik sebuah syarikat untuk melaksanakan projek terbabit.

Tambah sumber, status semasa adalah penyediaan dokumen perjanjian kontrak oleh FAM hasil daripada keputusan pemilihan yang dibuat sendiri oleh FIFA.

“Siasatan kes FAM telah hampir siap dan akan dikemukakan kepada Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan untuk kajian dan keputusan.

“Setakat ini, SPRM tidak menemui sebarang penyelewengan dan rasuah dalam kes berkaitan,” kata sumber.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan bahawa siasatan menyeluruh telah dilaksanakan berhubung perkara tersebut.

“Sebagaimana yang dijelaskan oleh Ketua Pesuruhjaya (Tan Sri Azam Baki), pihak SPRM hanya memfokuskan kepada isu-isu kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

“Namun menyerahkan kepada Bahagian Pendakwaan untuk sebarang keputusan lanjut,” katanya.

FAM sebelum ini menjadi perhatian umum susulan tersebar surat layang dengan pembinaan NTC turut menjadi isu selepas projek itu juga disebut dalam surat berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini