comscore
Tumpuan :
Nasional

Sumbangan Ahmad Rejal tinggal kesan mendalam dalam dunia kewartawanan negara  – PM

KUALA LUMPUR:  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan sumbangan dan buah fikiran yang dilontarkan Tokoh Wartawan Negara 2014 Allahyarham Datuk Ahmad Rejal Arbee Mohamed Isa Arbee meninggalkan kesan mendalam dalam dunia akhbar dan kewartawanan di Malaysia.

Beliau berkata Allahyarham yang merupakan bekas Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan bekas Pengarang Kumpulan Berita Harian juga dikenali sebagai antara pengamal media terawal meneroka konsep media dwibahasa.

“Takziah saya utuskan kepada keluarga Allahyarham. Mendoakan roh Allahyarham diampunkan segala dosanya dan diberi tempat istimewa di sisi-Nya, Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Allahyarham 83, meninggal dunia kira-kira 2 pagi tadi di Hospital Shah Alam kerana sakit tua. Allahyarham dimasukkan ke hospital itu Jumaat lepas kerana terdapat jangkitan kuman di paru-paru.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam pada jam 11 pagi  tadi dengan hampir 200 ahli keluarga dan sahabat seperjuangan kewartawanan hadir memberi penghormatan terakhir.

Datuk Ahmad Rejal dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan Negara 2014 sempena majlis Penganugerahan Tokoh Wartawan Negara dan Hadiah Kewartawanan Malaysia Institut Akhbar Malaysia (MPI)-Petronas 2014 sebagai menghargai sumbangan cemerlang wartawan veteran itu dalam bidang penulisan dan kewartawanan tanah air.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini