comscore
Tumpuan :
Nasional

Sungai Beranang kembali normal, pelepasan ‘one-off’ punca bau abnormal

Anggota penguat kuasa Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memantau keadaan air di Sungai Beranang susulan mengesan bau abnormal malam tadi. – FOTO: LUAS / Facebook

SHAH ALAM: Pelepasan secara ‘one-off’ dipercayai sebagai punca bau abnormal yang dikesan di Sungai Beranang malam tadi.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataan memaklumkan, perkara itu bagaimanapun kembali normal susulan hujan lebat yang meningkatkan kadar pencairan sungai terbabit.

“Siasatan serta pensampelan sudah dijalankan di lokasi-lokasi berkaitan yang disyaki seperti Sungai Rinching, Sungai Kabul dan Sungai Pajam. Semakan mendapati tiada bau abnormal di tiga lokasi terbabit.

Anggota penguat kuasa Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memantau keadaan air di Sungai Beranang malam tadi. FOTO: LUAS / Facebook

“Pada masa sama bacaan bau di Sungai Beranang juga kembali normal, termasuk Sungai Semenyih yang mencatatkan bacaan 0 ton. “Situasi semasa adalah terkawal,” kata kenyataan itu.

Dalam perkembangan sama, semakan lanjut mendapati trend kadar kekeruhan Sungai Selangor dan Sungai Sembah mula menurun bermula jam 11 malam.

“Kualiti air di kedua-dua sungai kembali pulih seperti keadaan biasa di bawah 500 NTU bacaan kekeruhan. Tiada gangguan operasi loji dilaporkan.

“Peningkatan ini ekoran hujan lebat di beberapa kawasan di Selangor lewat petang semalam termasuk di kawasan Sungai Sembah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini