comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Suria penyeri hidup pasangan warga emas

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

DUNGUN: Pasangan warga emas yang juga penternak kambing dari Kampung Ru Batil, Kuala Abang, mencuri perhatian ramai apabila seekor anak kambing berusia 4 bulan dibawa berjalan-jalan dan dipakaikan lampin.

Suria nama diberi, si hitam bertompok putih di bawah perut kelihatan sangat manja dengan tuannya, Omar Ali dan Zainab Omar, masing-masing berusia 73 dan 70 tahun.

Kenapa diberi nama Suria? Ketawa besar Zainab Omar yang mesra dipanggil Mok Long ketika  dihubungi Buletin TV3.

“Kambing Mok Long ada banyak nama, Suria, Rahmat, Manis, Ayu, Muner, Topok, Comel, Manja, dan banyak lagi.

“Tahun lepas saya ada bela 40 ekor kambing dan tahun ni dah hampir 50 ekor kambing, semuanya sihat-sihat dan ada nama.” katanya.

Menurut Mok Long, Suria sangat manja dengannya sejak dilahirkan kerana ibunya tidak mahu menyusu dan dipijak sehingga patah kaki.

Kerana kasihankan Suria, Mok Long dan suami merawat Suria sehingga pulih dan diletakkan di tempat khas di dalam rumah mereka.

Suria dimandikan dua kali seminggu, selain dipakaikan lampin, suria turut dibelikan baju dan dipakaikan bedak.

Jelasnya, Suria menjadi teman di kala mereka berdua kesunyian di rumah.

Mok Long dan Pok Omar mempunyai 9 orang anak dan 4 orang anaknya sudah meninggal dunia.

Aidilfitri yang dirai baru- baru ini bersama anak-anak dan cucu, Suria menjadi rebutan cucu-cucu untuk didukung dan di bawa berjalan-jalan sekitar kampung.

“Suria pun dapat duit raya (Mak Long ketawa lagi) ada yang selit duit raya di baju Suria!.

“Janganlah terlalu serius sehingga kenapa bagi duit raya pada kambing, sekadar suka- suka duit tu boleh beli makanan untuk Suria juga,” katanya.

Pasangan warga emas itu tidak pernah meninggalkan Suria di rumah.

Ke mana mereka pergi Suria akan dibawa sekali dan jika ke pasar raya, Suria akan diletakkan di dalam beg.

Siang tadi, Mok Long dan Pok Omar membawa Suria ke kedai makanan haiwan yang terletak di Kampung Che Lijah.

Pemilik kedai itu Rizwan Ali, 34 tahun, turut teruja melihat kambing peliharaan Mok Long dipakaikan lampin.

Menurutnya, saya teruja melihat pasangan warga emas itu sangat kasih pada binatang peliharaaannya.

“Di kedai saya ni ada cerita, selain kambing dipakaikan lampin ada juga beruk atau kera dipakaikan lampin dan baju datang membeli makanan dan keperluan selain ubat-ubatan untuk binatang peliharaan mereka”, katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini