comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Takkan bantuan guaman, setakat sibuk kes cerai berai Syariah saja’ – Azalina

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Satu persidangan kebangsaan berkaitan bantuan guaman dijangka diadakan tahun ini bagi menentukan hala tuju baharu Jabatan Bantuan Guaman (JBG).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau mahu jabatan berkenaan tidak hanya menumpu kepada kes jenayah sahaja sebaliknya lebih menyeluruh untuk kes-kes yang lain.

“Jadi kita kena membuat perubahan dasar pada elemen bantuan guaman kes sivil dan jenayah. Setakat ni bantuan guaman jenayah dimainkan peranan oleh Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dan kes yang YBGK buat 48 peratus untuk kes reman saja.

“Persoalan di sini adalah, kita di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) kena buat kajian bersama Majlis Peguam Malaysia, kita nak bagi bantuan guaman jenayah dari aspek yang mana, masuk mahkamah? Perbicaraan? Pertuduhan? Hukuman? Reman?

“Inilah yang saya nak JBG pada hari ini memainkan peranan tersebut. Takkanlah bantuan guaman setakat sibuk kes cerai berai Syariah saja,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Majlis Santunan Mesra Aidilfitri, di sini hari ini.

Ujar beliau, hala tuju baharu bantuan guaman itu penting bagi memastikan perbelanjaan kerajaan sama ada kes jenayah atau sivil dilihat berbaloi dan tidak menyebabkan pembaziran.

Ia juga perlu mengambil kira aspek perkembangan teknologi seperti sistem kecerdasan buatan (AI) ketika khidmat bantuan guaman terutama pada peringkat penyerahan dokumen.

Tambahnya, perkara berkenaan akan diangkat kepada perhatian Kabinet.

Sejak ditubuhkan pada 2011, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) sudah mengagihkan bantuan guaman mencecah RM83 juta.

Selain itu, beliau memuji inisiatif pendamping guaman bagi kes membabitkan kanak-kanak yang menjadi mangsa mana-mana kesalahan jenayah seksual.

Pada majlis sama, Azalina turut melancarkan Pelan Strategik JBG 2024-2028 dalam usaha menyediakan akses kepada keadilan buat rakyat yang memerlukan.

Menurutnya, antara program diperkenal termasuk Program Justice on Wheels (JOW) iaitu klinik guaman bergerak di kawasan luar bandar dan pedalaman seluruh negara serta Gerbang iGuaman.

“Program JOW akan membuka ruang yang lebih luas kepada rakyat bagi mendekati JBG dalam mendapatkan bantuan guaman dan menyelesaikan masalah perundangan yang dihadapi oleh mereka,” katanya.

Sebanyak 15 program JOW akan dilaksanakan masing-masing di Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini