comscore
Tumpuan :
Nasional

Tanah keluarga pelakon Ammar Baharin dipindah milik PTG Selangor tanpa pengetahuan

KUALA LUMPUR: Pelakon, Ammar Baharin menuntut penjelasan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor berhubung kes tanah milik keluarganya yang terletak di Semenyih, yang dikesan dikeluarkan geran oleh pihak berkenaan kepada orang lain secara tidak sah.

Ammar dalam perkongsian menerusi akaun X dan Instagram mendedahkan kejadian itu disedari keluarga ketika arwah ayahnya masih hidup, apabila meninjau kawasan tanah berkenaan untuk diusahakan, namun terkejut apabila mendapati sebuah rumah sudah dibina di situ.

“Macam mana sebidang tanah boleh ada dua geran yang berbeza? Mak aku pun pergi la jumpa tuan tanah itu dan bertanya. Diringkaskan cerita, tuan tanah kata itu tanah dia, siap tunjuk geran (geran tampal) dan mak aku pun tunjuk geran asal yang mak aku pegang berpuluh tahun. Siap bayar cukai tanah,” katanya.

Ammar berkata ibu dan arwah ayahnya kemudian pergi ke PTG Selangor untuk bertanyakan situasi terbabit.

“Mereka (PTG) faham dan cuba selesaikan perkara ini. Mereka janji akan menggantikan tanah mak aku dengan tanah yang lain tapi sampai sekarang masih belum ada jawapan. Apabila ditanya mengenai update terbaru, staff pejabat tanah kata Selangor dah takde tanah kosong (untuk digantikan),” katanya dalam perkongsian itu.

Pelakon itu mempersoalkan kes tanah ini kepada PTG dengan membangkitkan beberapa persoalan dalam perkongsian berkenaan.

“Siapa yang meluluskan geran kedua untuk individu lain, sedangkan tanah milik keluarga aku ini belum dijual atau ditukar nama kepada sesiapa?”

“Bayaran penjualan tanah itu diberi kepada siapa? Cukai tanah yang mak aku bayar tiap-tiap tahun itu macam mana?”

“Adakah pihak satu lagi itu pun bayar cukai tanah yang sama? Semoga PTGS ada jawapan untuk setiap persoalan di atas,” katanya.

Beliau juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertindak bagi menyelesaikan masalah yang mengelirukan rakyat.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor, Datuk Dr Yusri Zakariah, ketika dihubungi BH untuk mengulas dakwaan pelakon berkenaan berkata pihaknya mengambil maklum dakwaan terbabit dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara berkenaan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut memberi reaksi kepada perkongsian pelakon itu menerusi Instagram dengan meminta beliau mengemukakan perincian berhubung perkara itu.

“DM (Mesej terus) detail (perincian) no geran dan lot, nanti saya siasat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini