comscore
Tumpuan :
Nasional

Terengganu lulus usul tolak Akta Laut Wilayah 2012

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar semasa sesi penggulungan pada Mesyuarat  Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.- Foto: NSTP

KUALA TERENGGANU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini sebulat suara menolak Akta Laut Wilayah 2012 yang menghadkan sempadan maritim negeri hanya sehingga tiga batu nautika iaitu 5.5 kilometer dari kawasan pantai.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata Akta Laut Wilayah 2012 menafikan hak negeri untuk menerokai sumber dan hasil melalui sempadan maritim negeri di luar tiga batu nautika (5.5 kilometer) dari garis air surut wilayah Terengganu.

Beliau berkata DUN Terengganu meluluskan usul menolak Akta Laut Wilayah 2012 kerana dilihat tidak menepati syarat seperti mana yang ditetapkan di dalam Perkara 2 (b) dan Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 2 (b) menyatakan bahawa undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan negeri itu (yang dinyatakan melalui undang-undang yang dibuat oleh badan perundangan negeri itu) dan Majlis Raja-Raja.”

“Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.”

Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman.-Foto: NSTP

“Tindakan kerajaan persekutuan menyatakan negeri hanya berhak terhadap tiga batu nautika sebenarnya telah merampas hak kedaulatan negeri terutamanya yang berkait hasil mahsulnya,” katanya.

Terdahulu, persidangan DUN Terengganu ke-15 sebulat suara meluluskan usul menolak Akta Laut Wilayah 2012 kerana menghadkan hak negeri sekadar tiga batu nautika (5.5 kilometer) sahaja dari garis air surut wilayah negeri itu.

Ia selepas usul dikemukakan Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman (PAS- Kota Putera) itu disokong sebulat suara semua 32 ahli dewan undangan negeri (ADUN) Terengganu.

Turut menolak akta sama adalah Kelantan dan Sabah.

Terdahulu, media melaporkan Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak lima peratus kerana kedudukan medan pengeluaran adalah terletak di luar tiga batu nautika dari garis air surut wilayah kedua-dua negeri di pantai timur itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) menetapkan setiap negeri mempunyai hak ke atas laut wilayah di pesisir yang berdampingan dengan pantai wilayahnya yang tidak melebihi tiga batu nautika dari garis air surut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini