comscore
Tumpuan :
Nasional

Teruja gaji RM15,000, akhirnya 6 bulan terpaksa jadi ‘scammer’

Lau, mangsa sindiket penipuan pekerjaan yang dipaksa menjadi ‘scammer’ di Myanmar.

SEPANG: Terpedaya dengan tawaran kerja di Facebook (FB) yang menawarkan gaji RM15,000 sebulan di Thailand, seorang lelaki berdepan detik hitam selama enam bulan apabila dipaksa menjadi ‘scammer’di Myanmar.

Mangsa dikenali sebagai Lau, 29, menyifatkan setiap detik itu seperti berada di neraka.

“Saya pernah bekerja di Singapura selama enam tahun sebelum mendapat tawaran kerja di sebuah bank di Thailand menerusi FB.

“Pihak terbabit mendakwa saya boleh mendapat gaji mencecah RM15,000 sebulan jika bekerja di sana,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal 1 di sini, malam tadi.

Lau yang berasal dari Sarawak berkata, dia teruja dengan tawaran itu dan segera mengatur segala urusan berkaitan untuk ke Thailand.

“Pada mulanya, saya menaiki penerbangan ke Thailand. Namun sebaik tiba (di Thailand), saya dimaklumkan akan menaiki satu lagi penerbangan ke Myanmar.

“Saya hanya menyedari apa yang berlaku sebaik tiba di Myanmar apabila dipaksa oleh ahli sindiket untuk bekerja sebagai ‘scammer,” katanya.

Dia berkata, pada awalnya dia tidak mahu bekerja sehingga ahli sindiket terbabit mengurungnya di dalam bilik dan tidak memberinya sebarang makanan selama tiga hari.

“Malah, mereka juga memukul saya dan memaksa saya supaya bekerja (sebagai scammer).

“Sepanjang tempoh itu, mereka hanya beri minuman sahaja sehingga saya tidak tahan dan membuat keputusan terpaksa bekerja dengan mereka,” katanya.

Menurutnya, hanya sebilangan kecil sahaja individu warga Malaysia yang dikesan bekerja dengan sindiket terbabit di Myanmar.

“Mereka (sindiket) kata tidak mahu bawa masuk individu warga Malaysia lagi (untuk bekerja sebagai scammer) sebab banyak bagi masalah kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim berkata, Lau serta seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ting, 26, menjadi tahanan sindiket terbabit selama enam bulan di Myawaddy, Myanmar.

“Kedua-dua mangsa ini dipaksa untuk membayar AS$2,000 (RM9,480) setiap seorang kepada sindiket berkenaan sebagai jaminan mereka akan dibebaskan.

“Apabila dibebaskan, kami menghantar pasukan ke sana bagi membantu mereka keluar dari Myanmar tetapi dua mangsa ini dihantar ke Bangkok, Thailand.

“Mereka kemudian diserahkan kepada pihak Imigresen Thailand dan direman selama 14 hari untuk tindakan lanjut sebelum dibebaskan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan tawaran kerja dengan gaji lumayan yang dibuat menerusi media sosial.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini