comscore
Tumpuan :
Nasional

TMJ, Pan Gon kecam dan luah simpati terhadap insiden serangan menimpa pemain kebangsaan

Foto: JOHOR Southern Tigers / Facebook

Oleh: Fahmi Tajuddin

PETALING JAYA: Pemangku Sultan Johor, merangkap pemilik kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim mengecam insiden serangan yang menimpa dua pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim dan Akhyar Rashid.

Menerusi kenyataan di Facebook rasmi Johor Southern Tigers, kejadian itu mendatangkan bahaya kepada pemain yang terlibat dan Pemangku Sultan Johor berharap pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat segera kejadian berkenaan.

“Saya mengecam kejadian yang melibatkan pemain bola sepak, Faisal Halim dan Akhyar Rashid susulan keselamatan serta kesejahteraan mereka diganggu oleh individu-individu tidak bertanggungjawab.

“Saya berharap agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menyiasat kes-kes tersebut dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” kata kenyataan itu semalam.

Selain itu, Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon turut meluahkan rasa simpati kepada dua pemain kebangsaan itu.

Foto: FAM

Pan Gon dilihat memuat naik semula kenyataan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di laman Instagram rasmi miliknya.

“Semoga cepat sembuh, Akhyar Rashid dan Faisal Halim,” katanya.

Pada Ahad, bintang Selangor FC, Faisal Halim mengalami kecederaan di bahagian lengan dan badannya selepas disimbah asid.

Faisal dilaporkan diserang ketika berada di sebuah pusat beli belah di Damansara kira-kira jam 5 petang.

Sementara itu, pada Khamis lalu, pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid diserang sebelum disamun di Kuala Terengganu.

Akhyar dikatakan dipukul menggunakan senjata tumpul di bahagian kepalanya sehingga menyebabkan pemain terbabit mengalami kecederaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini