comscore
Tumpuan :
Nasional

Tuah cipta slogan, Sufian bolot kejuaraan lebih 30 kali

Oleh: Izzatie Rizan

SHAH ALAM: “Tuah ayam nampak dikaki, tuah Sufian pada kreativiti slogan”.

Tidak pernah jemu menyertai pelbagai pertandingan slogan rupa-rupanya memberi rezeki berganda buat seorang kakitangan kerajaan di Shah Alam, Selangor.

Sejak 20 tahun lalu, Mohammad Sufian Abdul Manan telah menjuarai lebih 30 peraduan, lebih istimewa, rata-rata barangan elektrik di kediamannya merupakan hadiah pertandingan.

Boleh dikatakan memperoleh ganjaran hampir setiap bulan, kisah Sufian ini benar-benar jadi bukti rezeki datang dalam pelbagai cara.

Ditemui Buletin TV3, Sufian berkata, sejak di bangku sekolah dia sememangnya pencinta Bahasa Melayu dan aktif menyertai pertandingan deklamasi sajak mahupun puisi.

Tidak mahu berhenti menjiwai bahasa kebangsaan usai tamat persekolahan, bakatnya itu mula dicurahkan dengan menyertai pertandingan slogan.

Memulakan langkah dengan menyertai peraduan kecil-kecilan seperti merebut tawaran pemberian percuma, kemenangan itu menjadikannya bertambah aktif memburu peraduan seterusnya.

“Saya ingat lagi, dulu dalam akhbar Berita Minggu setiap hari ahad, ada ruangan sisipan Bi Pop yang akan disertakan peraduan filem baharu. Melalui peraduan itu pembaca boleh memenangi barangan edisi terhad.

“Jadi bermula daripada situ, keinginan saya untuk mendapatkan barangan terbabit membuatkan saya seronok cipta slogan…tak sangka pula beroleh berkali-kali terpilih jadi pemenang,”katanya.

Telah menyertai lebih 150 peraduan, Sufian berkata,walaupun ada juga memenangi hadiah saguhati namun dia tetap bersyukur malah memberi perangsang untuk terus berusaha.

Berkongsi rahsia kemenangan, Sufian berkata setiap peserta perlu memasang strategi yang betul, selain mengkaji makanisme setiap peraduan supaya menepati syarat dikehendaki.

“Sebenarnya selain usaha dan tawakal, saya juga melakukan latihan dengan kerap untuk mencari kaedah penulisan terbaik. Ada berbagai kaedah untuk menambat hati juri ini termasuklah menyelitkan ritma pada slogan, penulisan berbentuk pantun dan gurindam termasuk menyuntik elemen emosi,”jelasnya.

Mengulas lanjut, minatnya menyertai peraduan turut mendapat sokongan isteri yang sentiasa memberi galakan menyertai pelbagai peraduan dan pertandingan anjuran syarikat swasta, pasar raya, hotel, kompleks beli-belah dan restoran.

Ganjaran paling besar dimenanginya setakat ini adalah sebuah kerusi urut bernilai RM 15,000.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini