comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Ulat’ tawar kenderaan mewah, tipu harga kepada pelancong

Aedy Fadly menunjukkan Toyota Alphard yang disita dalam Op Khas Ulat dan e-Hailing selama tiga hari di KLIA1 dan klia2, malam tadi. -FOTO: NSTP

SEPANG: Tawar perkhidmatan menggunakan kenderaan mewah untuk tarik dan kemudian memerangkap pelancong asing dengan harga berbeza.

Itu antara modus operandi digunakan segelintir ‘ulat’ yang dikesan menjalankan kegiatan haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) dan Terminal 2 KLIA (klia2).

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar selepas pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan Op Khas Ulat dan e-Hailing selama tiga hari di kedua-dua terminal berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya menahan 10 individu berusia antara 20-an hingga 60-an dalam operasi khas yang bermula sejak Ahad lalu hingga semalam.

“Kami turut menyita 10 kenderaan pelbagai jenis termasuk kenderaan mewah seperti Toyota Alphard yang digunakan oleh ‘ulat’ untuk menjalankan kegiatan itu.

“Ulat-ulat ini akan menyasarkan pelancong asing yang tidak pernah datang ke Malaysia dengan kononnya menawarkan harga murah bagi perkhidmatan mereka.

“Namun selepas pelancong terbabit sudah berada dalam kenderaan mereka, ulat-ulat ini akan mengenakan harga lain yang jauh lebih mahal atas pelbagai alasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Op Khas Ulat dan Kenderaan e-Hailing di KLIA1, di sini, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Pengarah Penguat kuasa Bahagian Penguat kuasa JPJ, Dr Azmi Awang dan Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan.

Aedy berkata, pihaknya banyak menerima aduan daripada orang ramai berhubung kegiatan ulat di KLIA1 dan klia2 sebelum ini.

“Justeru itu, kami menjalankan Op Khas Ulat secara konsisten bagi tempoh 2022 sehingga hari ini (malam tadi) dengan tangkapan seramai 312 ulat di kedua-dua lokasi ini.

“Mereka ditahan mengikut Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 selepas didapati memujuk atau mendesak bagi maksud menawarkan perkhidmatan berkaitan tanpa kebenaran,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga menjalankan Op Khas e-Hailing sepanjang tempoh itu dengan 2,168 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Dalam operasi itu, sebanyak 23,567 kenderaan diperiksa dengan 1,889 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Menurutnya, JPJ memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu tanpa kuasa yang sah menjalankan aktiviti ulat.

“JPJ juga akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada syarikat, pemilik atau pemandu e-hailing yang masih tegar melanggar undang-undang dan peraturan ditetapkan.

“Penguatkuasaan dan tindakan tegas akan dilaksanakan secara berterusan bagi meningkatkan akauntabiliti pematuhan peraturan ke arah ekosistem pembudayaan keselamatan jalan raya yang lebih selamat kepada semua pengguna,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini