comscore
Tumpuan :
Nasional

UMNO Selangor pulangkan jawatan ahli majlis PBT kepada PH

Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

KUALA LUMPUR: UMNO Selangor secara sebulat suara memuktamadkan keputusan untuk menyerahkan kembali kuota 20 jawatan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu kepada Pakatan Harapan (PH).

Pengerusinya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada PH untuk melantik mana-mana individu daripada gabungan berkenaan ke jawatan itu.

Beliau berkata ia antara lain menafikan dakwaan UMNO tamak, tidak sedar diri mahupun mendesak PH untuk memberikan jawatan kepada parti berkenaan, selain menjelaskan keputusan itu dibuat bukan kerana ‘merajuk’.

Katanya, UMNO Selangor juga akan memberi tumpuan kepada 373 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung yang dilantik di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

“Keputusan dicapai (pada mesyuarat khas Perhubungan UMNO Selangor) semalam (kelmarin), kita serahkan semua kerusi ahli majlis ditawarkan kepada BN untuk diisi oleh PH. Kita bukan tolak, tetapi serahkan semula.”

Majlis Bandaraya Petaling Jaya antara PBT paling berjaya di Selangor. – Foto hiasan

“Selama ini PH menguasai bandar dan jagalah kawasan berkenaan, manakala UMNO dan BN kita jaga kawasan luar bandar kerana inilah kekuatan UMNO yang sebenarnya.”

“Keputusan ini akan dimaklumkan kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam pertemuan tertutup di Sepang, Selangor malam esok (malam ini), sebelum surat rasmi mengenainya diutus kepada PH,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pemukiman MCA Selangor di sini, malam tadi.

Kelmarin, pemimpin PH Selangor dilaporkan mendakwa ramai ahli gabungan itu tidak berpuas hati dengan pelbagai konsesi diberikan kepada UMNO, selain menyifatkan parti itu ‘terlalu mendesak’ walaupun hanya menang dua kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Kumpulan itu juga dipetik berkata, UMNO sebelum ini turut mendesak bagi jawatan EXCO kerajaan negeri dan ketua kampung.

Mengulas dakwaan UMNO tamak, Megat Zulkarnain berkata pihaknya tidak pernah mendesak supaya bilangan kuota jawatan ahli majlis PBT diperuntukkan kepada parti itu ditambah, sebaliknya mahu berunding supaya perkara berkenaan diselesaikan sebaiknya.

“Cadangan diberikan kepada UMNO…yang ini kena jelas, walaupun saya menghormati rakan dalam PH, mereka kata terimalah 20 kerusi yang diberi. Saya pun ragu, peringkat awal kata 17 (kerusi) selepas itu jadi 20.”Namun, ramai tak tahu 20 daripada berapa…20 daripada 288 kerusi ahli majlis. Bukan angka dipertikaikan (tetapi) yang dibawa dalam mesyuarat semalam (kelmarin), adakah jumlah ini mencukupi untuk pembabitan semua pihak dalam BN.”

Kita faham mereka sudah beberapa penggal di Selangor tetapi saya juga rasa agak sedikit terkilan, dalam kita sedang berunding lagi (dan) mereka tahu saya akan bawa ke mesyuarat, tetapi tiba-tiba sehari sebelum diadakan, mereka sudah melakukan majlis angkat sumpah ahli majlis di Selangor,” katanya.

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain juga menegaskan, kurang tepat sekiranya sesetengah pihak memberi contoh rundingan jawatan ahli majlis PBT di Melaka sebagai perbandingan bagi keadaan di Selangor.

Ini kerana, katanya, kerajaan Melaka tertubuh sebelum kewujudan Kerajaan Perpaduan, selain BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika bertanding secara bersendirian pada PRN Melaka, pada 2021.

“Saya difahamkan ada 79 kerusi ahli majlis sahaja di Melaka dan di peringkat BN, kita sudah menawarkan 17 kerusi ahli majlis (kepada PH). Kalau diikutkan dalam bentuk peratusan, hampir 20 peratus (di Melaka), manakala di Selangor tujuh peratus.”

“Saya difahamkan, PH menolak kerana inginkan kerusi yang lebih. Demi menghormati kerana rundingan masih berjalan, sehingga hari ini ahli majlis di Melaka belum dilantik, maknanya (lantikan akan dibuat) sehingga rundingan selesai.”

“Di Melaka pun berunding, 17 daripada 79… tak setuju, tak lantik lagi, runding lagi. Jadi siapa tamak? katanya.

Loading...
Terkini