comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Helikopter terhempas: Jenazah Mohd Shahrizan selamat dikebumikan

Oleh: Hilmi Abdul Malik

SITIAWAN: Jenazah Mohd Shahrizan Mohd Termizi selamat dikebumikan pada jam 9.30 malam.

Proses pengebumian diadakan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Lekir di sini.

Jenazah sebelum itu dibawa Masjid Al Khairiah Batu 10 Lekir untuk sekali lagi disolatkan sebaik sahaja selesai solat Isyak.

Terdahulu, van jenazah yang membawa Allahyarham Mohd Shahrizan tiba di kediaman bapanya pada jam 7.40 malam bagi sesi penghormatan terakhir ahli keluarga.

Dalam pada itu, upacara pengebumian ini juga dijalankan dengan penuh istiadat ketenteraan di bawah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pengebumian Allahyarham dihadiri lebih 500 ahli keluarga, rakan, penduduk setempat termasuk anggota serta pegawai TLDM.

Selesai pengebumian, bacaan talkin dipimpin oleh Komander Pangkalan TLDM Lumut, Laksamana Pertama Jamaludin Sairi.

Jamaludin kemudian menyerahkan Ensign TLDM kepada anak sulung Mohd Shahrizan, Nurul Shahfiqah sebagai simbolik kepada penghargaan dan pengorbanan Allahyarham ketika berkhidmat dalam pasukan laut itu.

Mohd Shahrizan merupakan salah seorang daripada 10 anggota TLDM yang terkorban dalam nahas dua buah helikopter terhempas di pekarangan Kem TLDM Lumut, semalam.

Kejadian berlaku ketika kedua-dua helikopter itu sedang menyertai raptai untuk Sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Lumut yang dijadualkan Sabtu ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini