comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tragedi kepala air di Lembah Maksina, operasi bawa keluar mayat ambil masa 5 jam

LAHAD DATU: Usaha membawa keluar tiga mangsa yang maut dalam insiden kepala air di Sungai Makuau, Lembah Maksina, Tungku mengambil masa lima jam.

Menurut Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba Riki Mohan Singh Ramday, tiga mangsa itu ditemui dalam keadaan tertimbus di bawah kayu balak pada jam 1.37 pagi tadi.

“Operasi mengeluarkan mayat terpaksa dijalankan lima jam selepas itu (selepas 1.37 pagi) berikutan cuaca kurang baik dan keadaan gelap di kawasan penemuan.

“Mangsa yang maut membabitkan seorang wanita dan dua lelaki yang dikenali sebagai Rosnaneh Mutahir, 58; Saharuddin Baharuddin , 44; dan Saleh Latani yang juga ketua ekspedisi.

“Semua mangsa dan korban sudah dikeluarkan dan operasi ditamatkan pada jam 1 tengah hari tadi,” katanya.

Dalam kejadian 3.30 petang semalam, sekumpulan 15 individu berusia 25 hingga 58 tahun yang melakukan aktiviti ‘river trekking’ terperangkap dalam kepala air di kawasan berkenaan.

Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.28 malam, yang dibuat dua individu terselamat yang sempat keluar dari kawasan kejadian untuk mendapatkan bantuan.

Riki Mohan berkata, operasi mencari dan menyelamatkan mangsa turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Perhutanan.

Beliau turut mengesahkan hanya tiga individu yang maut dan 12 orang lagi terselamat, serta tiada mangsa hilang.

Loading...
Terkini