comscore
Tumpuan :
Politik

Menjelang PRN17 – PBS, STAR bakal meterai MoU

KOTA KINABALU: Kerjasama politik di antara Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) bakal direalisasikan menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU).

Menurut perkongsian pihak STAR kepada media, majlis menandatangani MoU itu dijadual diadakan di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di Penampang pada Khamis ini, jam 2.30 petang.

Majlis yang dianggap bersejarah itu dijangka disaksikan Huguon Siou atau pemimpin agung Kadazandusun, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga pengasas PBS dengan kehadiran pemimpin utama kedua-dua parti.

PBS dan STAR yang masing-masing mempunyai tujuh dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) juga adalah komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Gabungan itu turut dianggotai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

Soal kerjasama di antara kedua parti pelbagai kaum berasaskan Kadazandusun Murut (KDM) itu menjadi perhatian sejak tahun lalu selepas Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan menyatakan kesediaan partinya untuk bergabung dengan PBS sebagai persediaan menghadapi PRN17.

Perkara itu dinyatakan Jeffrey pada Konvensyen Nasional dan Ulang Tahun Ketujuh STAR Sabah pada 1 Julai tahun lalu apabila ditanya mengenai khabar angin penggabungan kedua-dua parti.

Berikutan kenyataan itu, Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai pada 2 Julai tahun lalu menyifatkan kenyataan Jeffrey sebagai sesuatu yang wajar ditimbangkan dan dibincangkan kepemimpinan tertinggi kedua-dua parti dalam usaha memperkukuh perpaduan GRS.

Pada September tahun lalu, satu jawatankuasa khas bagi membincangkan cadangan penggabungan kedua-dua parti ditubuhkan dengan diketuai Setiausaha Agung masing-masing, selain turut dibincangkan ketika Kongres Perwakilan PBS Ke-38, pada 8 hingga 10 September tahun lalu.

Timbalan Presiden PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam pada 2 September tahun lalu pula menyatakan soal penggabungan masih jauh, namun tumpuan kedua-dua parti ketika ini adalah untuk mewujudkan kerjasama menjelang PRN17.

Setiausaha Agung kedua-dua parti kemudian mengeluarkan kenyataan bersama pada 16 November tahun lalu menyatakan kesepakatan kedua-dua pihak untuk memulakan perbincangan rasmi mengenai usaha mewujudkan kerjasama di antara kedua-dua parti.

Jawatankuasa itu, ketika mesyuarat rasmi pertama mereka pada 13 Disember tahun lalu kemudian memutuskan agar kedua-dua parti menandatangani MoU yang menandakan kesepakatan masing-masing bagi memperkukuh GRS menghadapi PRN17.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini