comscore
Tumpuan :
Politik

PH umum calon PRK Kuala Kubu Bharu malam Rabu ini

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) akan mengumumkan calon yang akan mewakili gabungan itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, Rabu ini.

Pengarah PRK Kuala Kubu Bharu, Ng Sze Han melalui satu jemputan kepada media berkata pengumuman itu akan diadakan di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu pada jam 8 malam.

Sebelum ini, Naib Presiden Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan pemilihan sama ada meletakkan calon PKR bagi pilihan raya berkenaan terletak pada DAP.

Namun Nik Nazmi menegaskan, perkara itu tetap akan melalui proses perbincangan bersama Majlis Presiden peringkat PH dan Kerajaan Perpaduan.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu, Lee Kee Hiong daripada DAP mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Bharu dengan majoriti 4,119 undi apabila mengalahkan Teoh Kien Hong (GERAKAN), Siva Prakash Ramasamy (MUDA) dan Chang Boon Lai (Parti Rakyat Malaysia).

Kerusi itu diisytiharkan kosong selepas Kee Hiong meninggal dunia pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Berikutan itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dengan 27 April sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini