comscore
Tumpuan :
Politik

Tajuddin umum tak mahu lagi bertanding

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ketika sidang media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Gajah, Pasir Salak hari ini. Foto NSTP

PASIR SALAK: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman memutuskan untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum mahupun pemilihan parti itu pada masa akan datang.

Menurut Tajuddin, beliau mahu menumpukan perhatian kepada usaha memperkukuhkan semula parti keramat orang Melayu itu supaya UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali diterima oleh semua lapisan rakyat.

“Saya nak beritahu di sini, saya bukan nak bertanding jadi wakil rakyat semula. Saya sudah merasa menjadi ahli dewan undangan negeri (ADUN), ahli parlimen, pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan timbalan menteri. Cukuplah.”

“Saya cuma nak parti UMNO dan BN bangkit dan menebus kekalahan. Saya akan buat apa yang saya mampu sehabis baik untuk bantu.”

“Saya tidak akan bersara. Selagi hayat dikandung badan, saya akan teruskan perjuangan untuk parti bangkit semula,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Gajah, di sini, hari ini.

Beliau berkata UMNO ketika ini umpama orang sakit tenat disebabkan penyakitnya antara lain adalah kepimpinan yang lemah dalam memperbaharui serta memperbaiki sokongan akar umbi terhadap parti.

“Kalau esok ada pilihan raya umum (PRU), kita kalah, tapi sekarang kita masih ada masa untuk buat kerja mengukuhkan parti.”

“UMNO mampu (bangkit) jika betul tindakan yang diambil kerana sekarang UMNO berada dalam keadaan sakit tenat, tapi orang sakit jika ada pakar yang pandai dan ubat mujarab, boleh pulih selepas melalui penderitaan itu buat sekian lama,” katanya.

Dalam pada itu, Tajuddin yang kini digantung keahlian berkata beliau tidak menyalahkan parti atas hukuman itu dan meminta rakyat supaya tidak meninggalkan UMNO.

“Apa yang berlaku pada diri saya bukan kerana parti dan bukan kesalahan parti. Yang buat salah adalah orang tertentu, jadi kenapa parti pula yang dihukum.”

“Kita perlu tahu bezakan antara parti dengan individu. Kalau hari ini, orang itu ada di situ, esok lusa dia dah tiada. Jadi, kalau kita buang parti, habislah sedangkan kita mahu parti bangkit semula,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini