comscore
Tumpuan :
Sukan

Selepas dua bulan, Azzmi disahkan jurulatih baharu NSFC

SEREMBAN: Bekas pengendali Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC, Azzmi Ab Aziz akhirnya diumumkan oleh Negeri Sembilan FC (NSFC) sebagai jurulatih baharu mereka menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024-2025.

Difahamkan Azzmi telah memulakan tugas bersama NSFC sejak 15 Februari lalu.

Jurucakap NSFC memaklumkan, Azzmi yang berasal dari Ampang, Selangor menggantikan pengendali sebelum ini, K Devan yang tamat kontrak.

Azzmi pernah menjadi jurulatih interim Kedah Darul Aman (KDA) FC sebelum melatih skuad Piala Presiden Negeri Sembilan pada 2020-2022 dan  pasukan Liga Super PDRM FC pada musim 2023

“Kali ini, Azzmi hadir kembali ke Paroi untuk membimbing skuad Liga Super Negeri Sembilan FC.

.“Dengan pengalaman luasnya dalam arena bola sepak tempatan, pelantikan beliau dianggap sebagai pilihan yang tepat.

“Beliau terbukti sebagai seorang jurulatih yang berwibawa dan diyakini mampu membawa pasukan ke tahap yang lebih tinggi,” kata jurucakap berkenaan.

Kelewatan NSFC membuat pengumuman rasmi difahamkan kerana masalah teknikal berkaitan lesen kejurulatihan.

Sementara itu, Azzmi berkata, pemilihan pemain Negeri Sembilan sudah dibuat lebih awal dengan mengekalkan sebahagian pemain musim lalu dan membawa masuk beberapa pemain termasuk bekas pemain PDRM.

“Beberapa pemain lama seperti Nasrullah Hanif, Barathkumar, Afiq Fitri dan Amirul Hakimi pernah bersama saya sebelum ini.

“Adalah sangat penting untuk saya bekerja dengan pemain yang saya kenal. Dengan sokongan semua pihak, Insya-Allah kita dapat persembahkan bola sepak yang lebih baik dan mendapat keputusan yang lebih positif,” kata Azzmi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini