comscore
Tumpuan :
Sukan

Speedy Tigers tiada masalah tewaskan Kanada

Muhammad Azrai Abu Kamal menjaringkan gol ketika menentang Kanada pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah Ipoh. – FOTO: NSTP

IPOH: Tewas kepada Pakistan pada aksi pertama, skuad hoki kebangsaan bimbingan Sarjit Singh bagai melepaskan geram menundukkan Kanada 6-2 pada perlawanan kedua Piala Sultan Azlan Shah malam ini.

Bagi Sarjit, ia adalah keputusan positif meskipun masih ada beberapa kelemahan yang perlu di atasi segera.

“Secara keseluruhan prestasi dan komitmen yang ditunjukkan oleh setiap pemain menepati apa yang saya harapkan.

“Tapi saya masih tak berpuas hati dengan prestasi mereka kerana kita membenarkan Kanada menjaringkan dua gol yang mana bagi saya, kami memberikan gol itu kepada mereka.

“Kami perlu memperkemaskan benteng pertahanan kerana pada perlawanan hari ini, kami nampak agak lemah di bahagian itu,” katanya

Speedy Tigers dikejutkan dengan gol pertama Kanada menerusi jaringan padang Devohn Noronha Teixeira pada minit ke-12 namun pemain tengah negara, Fitri Saari pantas menyamakan kedudukan seminit kemudian.

Muhammad Azrai Abu Kamal yang mencipta hatrik ketika bertemu Pakistan pada perlawanan pertama semalam, menambah gol kedua minit ke-14.

Pemain muda, Azimuddin Kamaruddin melakar sejarah peribadi apabila menjaringkan gol pertama untuk skuad senior negara, yang juga gol ketiga Speedy Tigers pada minit ke-19.

Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi menjadikan kedudukan 4-1 minit ke-31 namun kecuaian dilakukan oleh benteng pertahanan negara menyaksikan Teixeira merapatkan jurang minit ke-42.

Bagaimanapun skuad negara kembali menambah gol hasil pukulan sudut penalti Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan minit ke-48 dan  Faizal Saari seminit kemudian yang juga gol ke-141 dirinya bersama skuad kebangsaan.

Skuad negara akan turun pada perlawanan ketiga bertemu pilihan utama kejohanan, New Zealand, Selasa ini

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini