comscore
Tumpuan :
Sukan

Zii Jia tak sertai latihan pusat Piala Thomas

Zii Jia (kiri) akan menjalani latihan bersama Tat Meng dalam menghadapi Piala Thomas hujung bulan ini.

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia tidak akan menyertai kem latihan pusat skuad badminton negara bagi menghadapi saingan Piala Thomas di Chengdu, China dari 28 April hingga 5 Mei ini.

Team LZJ dalam satu kenyataan, hari ini berkata, Zii Jia akan melakukan persiapan sendiri mengikut program latihan yang sudah diatur ketua jurulatih pasukan, Wong Tat Meng.

“Selepas tiba di Malaysia pada Ahad sebaik tamat Kejohanan Badminton Asia, Zii Jia sudah pun memulakan persiapannya bagi menghadapi Piala Thomas pada Isnin.

“Program latihan yang disusun oleh Tat Meng akan mempersiapkan Zii Jia untuk beraksi pada tahap terbaiknya ketika saingan Piala Thomas termasuklah lima kejohanan yang akan disertainya selepas itu.

“Program latihan ini, yang berasingan daripada pasukan Piala Thomas sudah dibincangkan bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan disokong oleh pengarah kejurulatihan badan induk itu, Rexy Mainaky dan pengarah pentadbiran, Michelle Chai.

“Kami berterima kasih kepada BAM dan Michelle kerana memahami dan kepercayaan yang diberikan kepada kami untuk menyusun program latihan dalam tempoh jadual kejohanan yang padat ini menjelang Sukan Olimpik Paris.

“Zii Jia tidak sabar untuk menyertai skuad pada 24 April ini,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Rexy ketika diminta mengulas mengenai perkara itu, berkata: “Ya, saya dimaklumkan mengenai perancangan ini ketika kali pertama mengadakan pertemuan dengan Tat Meng dan Lee Zii Yii (pengurus Team LZJ).

“Mereka memaklumkan kepada saya yang mereka hanya ada seminggu untuk melakukan persiapan selepas pulang daripada BAC, jadi kita perlu menyesuaikan keadaan ini.

“Kami faham Piala Thomas tahun ini berlangsung sama tahun dengan Sukan Olimpik, tetapi komitmen mereka juga adalah untuk bermain di Piala Thomas,” kata Rexy.

Ditanya jika mempunyai perancangan untuk membawa pemain menjalani kem bina semangat luar dari Kuala Lumpur, Rexy berkata: “Ia hanya akan lebih berkesan jika kita ada seluruh ahli pasukan.

“Jika ada seorang atau dua pemain tiada, ia bukan perancangan yang baik,” katanya.

Pada saingan Piala Thomas kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Denmark, Hong Kong dan Algeria.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini