comscore
Tumpuan :
Tular

Guru belasah pelajar disiasat

ALOR STAR: Polis memanggil seorang guru lelaki berusia 30-an, untuk dirakam keterangannya berhubung perbuatan menampar, menendang dan mencekik seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat di sebuah sekolah berasrama di bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata siasatan dijalankan selepas video kes itu tular di laman sosial Facebook, 10 Februari lalu.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam pada 1 Februari lalu di asrama sekolah terbabit yang terletak dekat Jalan Stadium di sini.

“Kita sudah panggil guru terbabit untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan, manakala pelajar terbabit dibawa menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini sejurus selepas kejadian,” katanya.

Mohd Rozi memaklumkan, hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca akibat masalah dalaman yang membuatkan guru terbabit marah dan bertindak demikian.

Siasatan masih diteruskan dan pihaknya akan memanggil pelajar terbabit untuk memberi keterangan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Loading...
Terkini