comscore
Tumpuan :
Wira Hatiku

“Saya guna ‘soft spot’ dalam diri untuk bantu wanita itu” – Datuk Ahmad Zaharil

Anda juga boleh klik pada gambar untuk entri Wira Hatiku

Peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar. FOTO: NSTP

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

PETALING JAYA: “Sebagai rakyat Malaysia, kita ada satu ‘soft spot’ (lembut hati) dan setiap individu di Malaysia ini memilikinya.

“Namun masalahnya kita sering kali tidak menggunakan titik kecil ini. Kadang-kala timbul rasa benci.

“Walhal itulah persamaan di antara semua rakyat Malaysia.

“Jadi, saya hanya menggunakan titik kecil itu, dan sudah tentu ia adalah tindak balas spontan dan saya tidak mempunyai niat jahat. Saya membantu dengan ikhlas.” – Peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar.

Petikan kata-kata ini sudah cukup menggambarkan niat murni yang seterusnya menzahirkan satu tindakan tekad seorang peguam bagi membantu seorang ibu yang dituduh mencuri kotak pensel, 26 tahun lalu.

Paling tidak disangkanya, keputusan dan tindakannya itu memberi impak positif kepada keluarga berkenaan, apabila si anak kini turut bergelar pengamal undang-undang.

Kisah Datuk Ahmad Zaharil yang mungkin ramai tidak tahu, tular menerusi sebuah iklan raya, baru-baru ini.

Individu yang cukup tegas di kamar mahkamah ini sebenarnya seorang yang penyayang selain suka bergurau.

Mengimbau kembali detik 1998 ketika bertemu wanita yang dituduh mencuri kotak pensel itu, beliau menyifatkannya sebagai satu takdir Allah S.W.T.

Lebih menyentuh hati, kotak pensel berharga RM18 itu adalah untuk dijadikan hadiah seorang ibu atas kejayaan anaknya menjadi pelajar terbaik di sekolahnya.

Mengenangkan hukuman tujuh tahun penjara jika sabit kesalahan, beliau atas rasa ihsan serta kemanusiaan terus menawarkan bantuan guaman percuma kepada wanita berkenaan.

“Semua yang diceritakan itu semua betul. Selepas bersembang dengan dia, dia memberitahu yang kotak pensil itu untuk diberikan kepada anaknya, saya terus tahu dia ada anak. Apa akan jadi kalau dia ditangkap dan dipenjara? Anak itu siapa akan jaga?

“Saya tolong orang sahaja, yang mana saya mampu saya tolong. Saya tidak mahu disebabkan duit, seseorang itu tidak mendapat keadilan,” katanya.

Hasilnya, wanita berkenaan dibebaskan mahkamah dengan syarat berkelakuan baik selama setahun.

Bantuan itu menjadi sumber inspirasi buat si anak untuk mengikuti jejak Datuk Ahmad Zaharil menjadi peguam.

Perkara itu hanya diketahui beliau apabila disapa seorang anak muda yang tidak dikenali di mahkamah tujuh tahun lalu.

Anak muda itu kemudiannya menangis dan mengucapkan terima kasih kerana membantu ibunya.

“Kenapa kamu ini? Kemudian dia (si anak) menceritakan yang saya pernah membantu ibunya. Kemudian dia peluk saya dan ketika itu berjurailah air mata saya. Saya tidak sangka, memang tidak menyangka perkara itu berlaku,” kata Datuk Ahmad Zaharil ketika menceritakan kisah itu.

Bagi Datuk Ahmad Zaharil, momen yang akan dikenang sepanjang tiga dekad menjadi peguam itu akan kekal menjadi penguat semangatnya untuk terus membantu rakyat Malaysia lain yang memerlukan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini