comscore
Tumpuan :
Nasional

15 Agensi Kerajaan, Swasta Terima Penarafan Bintang Sasaran Penting 2021

KOTA KINABALU: Sebanyak 15 agensi kerajaan dan swasta menerima Penarafan Bintang Sasaran Penting bagi tahun 2021 yang disampaikan Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin dalam satu majlis di sini malam ini.

Jonathan berkata penghargaan dan pengiktirafan itu amat signifikan kepada instalasi Sasaran Penting yang telah menunjukkan prestasi pengurusan keselamatan yang cemerlang semasa penilaian Anugerah Penarafan Bintang Sasaran Penting (APBSP) yang dilaksanakan bagi 2021.

“APBSP merupakan kaedah pertama kali digunakan oleh Jawatankuasa Pusat Sasaran Penting (JPSP) dalam memberikan pengiktirafan kepada instalasi Sasaran Penting yang menunjukkan prestasi kerja cemerlang di dalam pengurusan keselamatan perlindungan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis apresiasi anugerah Penarafan Bintang Sasaran Penting 2021 di sini malam ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Keselamatan Kementerian Dalam Negeri Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan Rahimi Ismail.

Antara penerima anugerah itu termasuk Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah, Manjung, Perak; Petronas Chemicals Fertilizer Kedah; Loji Pemproses Gas Santong, Terengganu; Loji Janakuasa Perlis (Global E-Technic Sdn Bhd) Perlis; Bank Negara Kuala Lumpur; Bank Negara Malaysia-Pusat Gerak Pulih Bencana Shah Alam, Selangor dan Labuan Crude Oil Terminal Labuan.

Penerima lain ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor; Loji Penapisan Petronas (Melaka) Sdn Bhd, Melaka; Malaysia Liquefied Natural Gas (MLNG) Bintulu, Sarawak; BASF Petronas Chemicals Sdn Bhd, Pahang; Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah; Stesen Janaelektrik Sultan Ismail Petra Pergau, Kelantan; Stesen Janakuasa Elektrik Tuanku Ja’afar Port Dickson, Negeri Sembilan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Sasaran penting merujuk kepada pemasangan yang hasil keluaran atau perkhidmatannya sangat penting dan sekiranya musnah atau rosak akan menyebabkan kerugian amat besar kepada ekonomi serta pertahanan negara atau menjejaskan fungsi kerajaan dan imej negara.

Jonathan berkata objektif utama APBSP dilaksanakan adalah untuk menilai dan mengukur prestasi penyampaian sistem pengurusan keselamatan perlindungan di pepasangan Sasaran Penting pada tahap yang cemerlang.

Katanya selaras dengan hasrat dalam teras enam Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) iaitu melindungi aset dan Sasaran Penting Negara, Urus Setia Jawatankuasa Pusat Sasaran Penting (JPSP) telah mencadangkan agar diwujudkan nilai tambah kepada naziran Sasaran Penting sedia ada dengan memperkenalkan APBSP bagi meningkatkan kawalan, perlindungan dan penyelenggaraan aset, sumber, infrastruktur kritikal Sasaran Penting dan melindungi maklumat serta rekod keselamatan negara.

“Aspek-aspek seperti pengetahuan, kemahiran, pengalaman, kecekapan dan nilai positif serta kepakaran yang dimiliki oleh pekerja merupakan aset yang tidak ternilai, semuanya diperlukan demi memastikan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan berada pada tahap cemerlang,” katanya.- BERNAMA

Loading...
Terkini