comscore
Tumpuan :
Tragedi

‘Jubah Jadi Penyelamat Wanita Berpurdah Jatuh Dari Jambatan’

FOTO: Orang Awam

KOTA BHARU: “Wanita itu sudah hampir terjun dari jambatan tapi kakinya tersekat dengan jubah yang dipakai sebelum segera dipegang orang ramai,” kata Suhaila Zakaria.

Suhaila, 28, yang juga saksi insiden seorang wanita berpurdah yang ingin terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra di sini jam 1.40 tengah hari tadi, berkata ketika itu dia dalam perjalanan dari bandar Kota Bharu untuk pulang ke rumahnya di Kampung Dalam Rhu, Tumpat.

Katanya, dia yang menunggang motosikal ternampak kumpulan orang ramai di tepi jalan atas jambatan terbabit sebelum ditahan agar menghentikan kenderaannya.

“Saya diminta untuk bersama memegang wanita itu kerana yang lainnya adalah lelaki dan mangsa ketika itu dalam keadaan menangis teresak-esak.

“Kami tak pasti wanita itu dari arah mana cuma dia memakai jubah dan berniqab malah dia juga sudah hampir terjun dari jambatan, nasib baik orang ramai sempat memegangnya.

“Dia (mangsa) kelihatan celaru dan asyik menyalahkan diri sendiri sambil berkata ‘saya jahat’ tanpa menerangkan perkara sebenar,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Suhaila berkata, sebaik ditenangkan, wanita dalam lingkungan 30-an itu dibawa ke balai polis berhampiran oleh sebuah kerota peronda yang kebetulan lalu di jalan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Darul Naim, Ahmad Fakaruddin Berahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.45 tengah hari.

“Tujuh anggota dikejarkan ke lokasi dan sebaik tiba, kami dimaklumkan bahawa mangsa sudah dibawa oleh polis dan misi menyelamat dianggap selesai,” katanya.–BERITA HARIAN

Loading...
Terkini