comscore
Tumpuan :
Aduan Rakyat

2,000 penduduk sengsara hidu pencemaran gas ammonia

Oleh: Baharuddin Mohamed

MELAKA: Lebih 2,000 penduduk terpaksa menghidu bau busuk dipercayai gas ammonia yang dilepaskan kilang berhampiran penempatan mereka di Taman Ozana Residen, Bukit Katil, di sini menyebabkan kesihatan mereka terancam.

Selain menghidu bau busuk itu saban hari, penduduk turut mendakwa berdepan masalah bunyi bising yang berpunca daripada operasi kilang terbabit.

Akibat pelepasan gas amonia dan debu halus itu, penduduk mendakwa sering mengalami sakit tekak dan hidung.

Menurut mereka, bau busuk itu semakin meruncing selepas hujan.

Lantaran itu, penduduk terpaksa berkurung di dalam rumah bagi mengurangkan tahap bau busuk dan kebingitan bunyi mesin kilang berhampiran.

Ahli Jawatankuasa, (AJK) persatuan penduduk taman itu, Ariffin Abdul Ghani, 64, berkata, terdapat empat kilang logam, memproses sarung tangan, alat ganti kenderaan dan gentian terletak kira-kira 300 meter dari taman perumahan berkenaan.

Ekoran masalah itu, pihaknya pernah mencadangkan pembinaan tembok penghadang sepanjang 500 meter dan enam meter tinggi bagi mengurangkan kesan bunyi dan bau busuk itu.

Pencemaran gas ammonia dipercayai dilepaskan dari empat kawasan kilang bersebelahan menyebabkan penduduk berdepan pelbagai penyakit dalam tempoh jangka panjang.

“Sekarang ini pun, kami sering mengalami batuk-batuk kerana debu-debu halus terbang memasuki rumah menyebabkan kami tidak dapat melakukan aktiviti luar,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang penduduk, David Teh, 59, mendakwa masalah kesihatannya semakin terjejas akibat terpaksa menghidu bau gas amonia itu setiap hari.

Lantaran itu dia terpaksa memakai pelitup muka setiap hari walaupun berada di dalam kediamannya sendiri.

“Saya sering mengalami sakit tekak dan kerongkong sejak tinggal di sini dan saya minta pihak berkuasa mencari jalan penyelesaian bagi membela nasib kami,” katanya.

Nasib sama turut dialami jirannya, S. Davindran, 37, yang kecewa dan berasa tertipu selepas membeli rumah di taman berkenaan ekoran masalah pencemaran yang tidak berkesudahan.

“Mula-mula dulu, saya hairan juga tapi bila dimaklumkan dalam kumpulan WhatsApp taman beritahu memang ada berlaku pencemaran udara, barulah saya tahu punca ‘migrain’ selama ini.

“Sekarang ini, nak bagi anak perempuan berusia lima tahun main di luar rumah pun saya takut dan terpaksalah berkurung sahaja tutup pintu dan tingkap,” katanya.

Seorang lagi penduduk, P. Prakash, 40, mengalami kesukaran untuk tidur pada waktu malam kerana bunyi bising mesin daripada kilang yang beroperasi 24 jam berhampiran taman perumahan itu.

Keadaan kesihatan isterinya ujarnya, yang mempunyai migrain juga semakin membimbangkan dipercayai sering terhidu bau gas ammonia itu

“Pada waktu-waktu tertentu, gegaran yang berlaku daripada operasi kilang yang jaraknya hanya kira-kira 20 meter dari rumah saya membuatkan pintu bilik turut bergegar.

“Bila masalah ini diadukan kepada pihak berkuasa, bunyi dan asap yang dikeluarkan tiba-tiba berkurangan tetapi semakin kuat dan banyak pencemaran pada waktu tengah malam atau ketika hujan lebat,” katanya.

Isu berkenaan mendapat perhatian calon Barisan Nasional, (BN), Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd. Ridhwan Ali yang mengadakan pertemuan dengan penduduk taman perumahan itu hari ini.

“Untuk langkah awal, saya difahamkan sudah ada persetujuan antara kilang yang akan menanggung kos memasang pengadang penebat bunyi setinggi enam meter sepanjang 500 meter jalan di taman berkenaan,” katanya.

Loading...
Terkini