comscore
Tumpuan :
Aduan Rakyat

Aduan Rakyat: 10 kali banjir akibat parit tak diselenggara

Foto: Tinjauan wartawan Aduan Rakyat di lokasi di Taman Bunga Raya, Shah Alam

Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA: Hidup umpama pelarian, cukup sekadar barang keperluan menjadi hiasan kediaman.

Begitulah gambaran kehidupan penduduk di Taman Bunga Raya, Shah Alam yang terpaksa berdepan musibah banjir setiap kali hujan lebat.

Dakwa penduduk, sistem perparitan yang hampir 12 tahun tidak diselenggara punca berlakunya insiden yang kerap berulang itu.

Penduduk mengeluh kepada Aduan Rakyat mengenai bencana yang menimpa mereka 10 kali dalam tempoh 3 tahun itu.

Adnan Mohamad Yusof, antara penduduk yang mengeluh kesal dengan layanan pihak berkuasa yang tidak pernah mendengar rintihan mereka,

“Masalah banjir ini disebabkan sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan betul, dah jadi semak belukar parit ini sehingga air pun tak dapat mengalir.

“Tindakan pihak berkuasa pun tak pernah sampai kesini, diabaikannya, dianak tirikannya dan yang menjadi mangsa penduduk taman ni lah,” adunya kepada Buletin TV3.

Mohd Fadzly Abd Ghafar, turut menyuarakan keluhan sama.

“Sejak 2018 sehingga 2022 bulan Disember, sudah 10 kali banjir, tetapi tak ada tindakan daripada pihak berwajib,” katanya.

Foto: Sistem perparitan yang didakwa penduduk hampir 12 tahun tidak diselenggara

Dakwa penduduk, pembinaan taman perumahan baharu yang lebih tinggi di sekeliling taman mereka turut menjadi faktor penyumbang terjadinya banjir.

Norzihat Abd Majid, mendakwa pembinaan taman perumahan baharu menjadikan taman mereka yang paling rendah di kawasan berkenaan.

“Dulu sebelum wujud taman belakang ni, taklah macam tu, tapi bila ‘level’ taman belakang ni dan taman baru yang dibuat lebih tinggi dari taman kami jadi taman kami ni jadi takungan air lah,” keluhnya kepada Aduan Rakyat.

Selain itu, Jaafar Mansor, turut menyuarakan tentang isu kesihatan memandangkan air bah menyebabkan longgokan sampah terkumpul di kawasan perumahan mereka.

“Sudah 12 tahun duduk sini, lebih kurang dah 10 kali banjir melanda tapi takda apa apa tindakan langsung, jadi sampah sarap macma ni kan, boleh mengundang masalah kesiahatan seperti jentik-jentik dan sebagainya.

“Tolonglah! Pihak berkuasa ambil tindakan untuk kesejahteraan penduduk taman ni,” rayunya.

Ada juga penduduk yang kecewa dengan tindakan pihak berkuasa termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dilihat berdolak-dalih mengenai peranan masing-masing dalam mengendalikan aduan penduduk.

Mohd Fadzly berkata, setiap kali penduduk membuat aduan kepada agensi-agensi berkaitan, mereka saling menunding jari.

“Bila saya buat aduan kepada beberapa agensi, mereka saling menunding jari antara satu sama lain.

“Tidak bertanggungjawablah mereka ini dan kami penduduk Taman Bunga Raya sangat kecewa dengan tindakan mereka itu,” katanya.

Seusai turun padang meninjau kawasan berkenaan dan mendengar keluh kesah penduduk, Aduan Rakyat cuba menghubungi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Namun, MBSA memaklumkan kerja-kerja penyelenggaraan sistem perparitan taman berkenaan telah diserahkan kepada KDEB Waste Management.

Justeru, Aduan Rakyat terus ke pejabat KDEB Waste Management bagi mendapatkan maklum balas pihak terbabit.

Foto: Penolong Pengarah Komunikasi Korporat KDEB Waste Management, Mahfuzah Muhammad Tarmidi

Penolong Pengarah Komunikasi Korporat KDEB Waste Management, Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata, pihaknya hanya bertanggungjawab terhadap sebahagian perparitan di kawasan berkenaan.

“Dari segi jadual kebersihan di kawasan-kawasan longkang dibawah seliaan KDEB bersaiz 1.5 meter kebawah sahaja dan kami telah pun selesai menjalankan aktiviti pembersihan mengikut jadual yang sebaiknya.

“Tapi kawasan perparitan taman dan sebagainya, pihak agensi lain yang bertanggungjawab membuat pembersihan dan bukannya KDEB,” jelasnya kepada Buletin TV3.

Tidak lama kemudian, penduduk memaklumkan MBSA telah mengambil tindakan membersihkan sistem perparitan di kawasan berkenaan.

Ia susulan aduan dari pihak Aduan Rakyat yang sampai kepada PBT berkenaan.

Loading...
Terkini