comscore
Tumpuan :
Aduan Rakyat

ADUAN RAKYAT: Sungai tercemar jejaskan hasil tangkapan kerang nelayan

Oleh Fatin Hanani Sahimi

KUALA SELANGOR: Pencemaran air di Sungai Buloh menjadi semakin parah dengan air sungai yang kehitaman dan dipenuhi sampah hingga menjejaskan hasil tangkapan kerang nelayan.

Lebih membimbangkan, pencemaran itu juga dikhuatiri bakal mengakibatkan kepupusan ekologi kerang di sungai berkenaan.

Ujar nelayan, isu pencemaran air sungai di penternakan benih kerang semula jadi ibarat sakit yang tiada penawar kerana pelbagai usaha sudah dilakukan namun masih tiada jalan penyelesaian buat mereka.

Luah mereka, sedih dan kecewa, apabila setiap kali mengaut kerang, lebih banyak sampah yang dikaut berbanding hasil yang diharapkan.

“Hal ini menjadi keterlaluan sejak tujuh dan lapan tahun lalu, air sungai menghitam seperti air longkang dan berbau,” ujar Kahar Buntal.

Krew Aduan Rakyat turut mengikuti nelayan ini untuk mencuba mengaut hasil kerang dan merasai sendiri kepayahan mereka.

Selepas dua jam di bawah terik mentari, kami pulang dengan hanya membawa 17 biji kerang bersama sampah sarap ke darat.

Ujar Kahar Buntal, jika terdahulu dia boleh mengaut hasil kerang sehingga 70kg dalam masa satu jam setengah, namun pada ketika ini untuk mendapatkan sekilogram kerang amat sukar kerana lebih banyak sampah sarap yang dikaut berbanding hasil ternakan.

Kahar Buntal yang juga merupakan salah seorang nelayan yang bertanggungjawab menjaga sepuluh daripada 57 lot kerang di sekitar Sungai Buloh berkata, jumlah nelayan sudah berkurangan akibat kemerosotan hasil.

Jelasnya sejak 2014, nelayan telah menyuarakan permasalahan sama dan menggesa pihak berkuasa mengambil langkah menangani pencemaran di sungai terbabit.

Dakwa nelayan pencemaran berlaku akibat pembuangan sisa kilang berhampiran ke dalam longkang yang mengalir ke sungai.

Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Dr Ahmad Ismail memaklumkan jika tiada langkah diambil bagi memulihkan Sungai Buloh, spesis kerang di sungai ini bakal pupus.

“Kita perlu kenal pasti kawalan pencemaran air dan apakah sumber yang menyebabkan pencemaran air sungai, sama ada dari segi industri, perumahan dan sebagainya serta kita perlu halang effluent (bahan buangan) dari mencemari sungai terbabit,” ujarnya.

Tambahnya, saiz plastik yang besar juga memberi kesan apabila ia hanyut dan menutupi kawasan penternakan kerang.

Masalah pencemaran air Sungai Buloh kami ajukan kepada pihak berwajib termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS).

JAS bagaimanapun memaklumkan, memerlukan lebih banyak masa menilai kualiti air di Sungai Buloh serta mendapatkan data berkaitan.

Loading...
Terkini