comscore
Tumpuan :
Aduan Rakyat

[VIDEO] Air najis melimpah undang bahaya, penduduk dihantui bau busuk

 

Oleh : Ridhwan Rusydi Azri Roslan

KUALA LUMPUR: Kira-kira 300 penduduk di Pangsapuri Sri Meranti, Bandar Sri Damansara, Selangor terpaksa menghidu bau busuk setiap hari, gara-gara paip pembentungan pecah sejak tiga bulan lalu.

Air najis yang melimpah ke atas jalan raya, turut mengundang bahaya apabila ada penduduk yang cedera akibat tergelincir dan terjatuh.

Hasil tinjauan dilakukan kru Aduan Rakyat mendapati, kawasan tersebut amat jijik, busuk dan meloyakan.

Tinjauan turut mendapati, air najis yang melimpah turut membanjiri tempat meletak kereta di salah sebuah blok pangsapuri ini.

Ujar salah seorang penduduk Muhammad Khairul, dia amat kesal dan marah dengan situasi berkenaan, kerana anaknya merupakan salah seorang yang menjadi mangsa jalan yang berlumut itu.

“Anak saya terjatuh dekat sini. Sebab lihatlah sendiri, penuh dengan lumut kan. Jadi bila budak-budak macam anak saya dan kawan-kawan dia bermain atau melalui kawasan ini, dia jatuh lah.”

“Masa jatuh, habis luka dekat kaki dan tangan sekali.”

Seorang lagi penduduk, Jaafar Ahmad turut menceritakan satu kejadian sama, di mana pasangan warga emas yang terjatuh dari motorsikal mereka ketika melalui kawasan berlumut tersebut.

“Ada satu kejadian yang berlaku bulan lepas, ketika itu, ada pak cik dan mak cik sedang menunggang motorsikal. Ketika itu mereka hendak masuk ke simpang kanan, tapi ada satu kereta berada di situ.”

“Jadi mereka terkejut dan brek atas jalan yang berlumut ini, memang terus jatuh. Kesian tengok mereka, sebab habis luka-luka di tangan dan kaki mereka.”

Dakwa penduduk, masalah bermula apabila berlaku kebocoran pada paip air bersih blok pangsapuri berkenaan.

Namun, setelah kerosakan itu  diperbaiki pihak berkaitan, berlaku pula kebocoran pada paip pembentungan.

Masalah itu kami ajukan kepada pihak Indah Water Konsortium (IWK).

Tidak sampai 24 jam, pihak IWK mengeluarkan satu kenyataan.

Menurut IWK, aduan sudah diterima daripada penduduk dan siasatan telah dijalankan.

Hasil siasatan mereka mendapati, paip pembentungan persendirian berkemungkinan pecah akibat kerja-kerja pemasangan paip air yang dijalankan kontraktor lain.

Susulan itu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membersihkan kawasan serta air yang berlumut.

Kami juga cuba mendapatkan maklum balas Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo.

Hasilnya, pihaknya telah menghantar kontraktor dan paip pembentangan yang patah dua telah diperbaiki.

Loading...
Terkini