comscore
Tumpuan :
Aduan Rakyat

Asap Bau Tapak Pelupusan Sampah Haram Jejas Kesihatan

Oleh Ridhwan Rusydi Azri Roslan

SUNGAI BULOH: Lebih 3,000 penduduk di Kampung Sungai Pelong terpaksa menahan bau busuk lebih setahun lalu.

Semuanya gara-gara tapak pelupusan sampah haram yang didakwa beroperasi di tanah persendirian berhampiran kawasan berhampiran mereka.

Natijahnya, kesihatan penduduk terjejas akibat pelepasan asap dari tapak pelupusan sampah terbakar.

Lokasi tapak pelupusan sampah haram ini tidak sampai 100 meter dari kawasan perumahan penduduk.

Penduduk mendakwa tanah persendirian ini dijadikan tapak pelupusan sampah kira-kira dua tahun lalu.

 

Namun situasi bertambah buruk setahun lalu selepas berlakunya kebakaran timbunan sampah di tapak ini.

Turut menghairankan meskipun kebakaran telah dipadam, asap masih keluar dari timbunan sampah sehingga ke hari ini.

“Kita tengok batu-batu perumahan apa semua orang yang buat rumah tambak tanah semua buang sampah dekat sini. Jadi diikutlah dengan orang persekitaran sekeliling yang kurang bertanggungjawab yang buang sampah disini. Macam kita tengok asap dekat sini, bomba dah 2-3 kali datang, tahun lepas pun datang,” kata penduduk, Irhaam Asri

Penduduk khuatir jika tiada penyelesaian kesihatan mereka terus terancam.

“Sebabkan kes asap ini, anak saya kecil umur tiga tahun tidak pernah ada semput sebelum ini, first time semput November tahun lepas. Lepastu dua bulan lepas tu masuk lagi hospital sebab semput juga, on off. Lepas tu setiap bulan mesti ada. Sampai kita dah tahu nak buat apa, nak bagi ubat sebab dah selalu sangat kena,” kata Nur Faezin Abdul Rahim

Penduduk yang tinggal bersebelahan timbunan sampah juga sudah berpindah.

Dakwa penduduk masalah telah diajukan kepada pihak berkuasa namun tiada penyelesaian jangka panjang.

Aduan Rakyat cuba mendapatkan maklum balas Majlis Bandaraya Shah Alam dan Pejabat Daerah dan Tanah Petaling.

Dimaklumkan tapak pelupusan sampah berdekatan Kampung Sungai Plong itu merupakan dua lot ekar tanah milik persendirian.

Pemilik tanah terbabit diberi peringatan untuk memulihkan kembali keadaan tanah.

Menurut Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad, pihak PBT telah mengeluarkan surat agar pemilik tanah memulihkan kembali tanah kepada asal.

“Kawasan ini memang kita kategorikan sebagai tidak aktif maknanya dah seal dan sampah-sampah pukal pun dah tidak dibawa masuk lagi. Dibawah tanah itu mungkin ada sedikit bara dan sebagainya, itu akan dipantau dan pihak MBSA,” katanya.

Jabatan Alam Sekitar Selangor (JAS) juga telah mengambil tindakan untuk memastikan tapak tersebut ditutup terus.

Loading...
Terkini