comscore
Tumpuan :
Aduan Rakyat

Lambakan Iklan Haram, Undang Bahaya

 

Iklan haram yang tumbuh bak cendawan di lebuh raya menjadi tanda tanya

Oleh Syafiqah Damanhuri

BANGI: Lambakan iklan haram di lebuh raya utama sekitar Lembah Klang menimbulkan persoalan.

Di mana penguatkuasaan bagi menangani tindakan menggantung iklan haram yang boleh mengelirukan orang ramai serta mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.

Tinjauan mendapati ada papan iklan di luar kawasan lebuh raya yang dilihat dipacak berlapis-lapis seperti tidak diselenggara.

Tidak kurang juga iklan lama yang tidak dibuang dengan cara betul dan dicampakkan di lokasi sama.

Di lebuh raya Persekutuan pula ada kain rentang diikat di atas jejambat.

Tiang lampu dijadikan sasaran dipasang sehingga ada yang ditampal empat gegantung.

Situasi ini semua mencacatkan pemandangan.

Iklan haram ini didakwa memberi gangguan kepada pengguna dan memberi ancaman keselamatan kepada mereka.

Menurut Zayed Zulkifli, perkara seperti ini ibarat tiada perancangan, malah jika dilihat dari aspek keselamatan ia boleh menyebabkan perkara tidak diingini berlaku.

“Benda tu (iklan) mencemarkan pemandangan, yang kedia macam tiada perancangan main pacak je kan. Ketiga isu keselamatan, bila dia pacak tidak ikut peraturan pihak berkuasa tempatan benda tu boleh roboh ataupun bila ditiup angin boleh sebabkan kemalangan,” katanya.

Isu lambakan iklan haram ini turut mendapat perhatian netizen di media sosial.

Pengguna mendakwa terganggu dengan iklan berkenaan ketika memandu.

Antaranya kod QR yang tidak sepatutnya diletakkan di papan tanda di lebuh raya kerana boleh membahayakan pemandu apabila mereka cuba mengimbas kod tersebut.

Aduan Rakyat cuba menghubungi syarikat pengiklanan swasta dan mereka mengakui terkesan dengan situasi itu.

Lambakan iklan haram menyebabkan kerugian kepada syarikat papan tanda yang sah serta PBT.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Lokman Nasir ketika dihubungi memaklumkan pemasangan gegantung itu dibuat tanpa kelulusan daripada JKR negeri mahupun daerah.

Sebelum ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pernah memaklumkan, jumlah denda minimum dan tiada hukuman penjara menyebabkan kegiatan menggantung iklan haram masih berleluasa.

Menampal dan memasang iklan haram adalah kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil (Wilayah Persekutuan) 1982 dan Undang-Undang Kecil Vandalisme (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1991.

Namun pesalah hanya perlu membayar denda maksimum RM2,000 sahaja.

 

 

 

Loading...
Terkini