comscore
Tumpuan :
Aduan Rakyat

Penduduk Suara Bantahan Projek Ternakan Ayam Mega Di Tanjung Sepat

Penduduk Kampung Tanjung Sepat Darat, Kuala Langat membuat bantahan. – FOTO : NSTP

PUTRAJAYA : Kira-kira 4,000 penduduk Kampung Tanjung Sepat Darat, Kuala Langat dekat sini membantah pembinaan projek ternak ayam mega berdekatan kampung itu.

Ketua Jawatankuasa Bertindak, Nor Halim Ngadirun, 40, berkata, projek itu tidak sesuai dibina di kawasan itu kerana kedudukannya hanya beberapa meter dari kediaman penduduk.

Menurutnya, pengusaha juga tidak pernah berbincang dengan ahli jawatankuasa penduduk untuk membina projek itu dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) juga memaklumkan pembinaannya belum mendapat kelulusan.

Katanya, projek tambak tanah di kawasan projek itu sudah berjalan sejak dua minggu lalu dan kenderaan berat yang keluar masuk ke kawasan itu turut membahayakan keselamatan penduduk terutama kanak-kanak yang berulang alik ke sekolah.

“Kenderaan berat yang membawa muatan tanah ini juga merosakkan jalan kawasan kampung yang baharu diturap dan perkara ini menimbulkan kemarahan penduduk kerana sebelum ini menunggu bertahun-tahun untuk dinaik taraf .

“Projek ternak ayam mega ini tidak sesuai dan perlu dibatalkan kerana ia menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk di masa depan kerana sebelum ini penduduk berhadapan berpuluh-puluh tahun dengan masalah bau dan pencemaran najis babi akibat penternakan yang tidak terkawal,” katanya ketika dihubungi.

Baru-baru ini, kira-kira 100 penduduk mengadakan demonstrasi di hadapan kawasan projek itu bagi menyuarakan bantahan.

Menurut wakil penduduk yang enggan dikenali berkata, pegawai MPKL yang mengeluarkan saman ke atas pemaju kerana menjalankan projek yang masih dalam permohonan dan belum mendapat kelulusan.

Sementara itu Ketua Umno Sepang, Noorazli Said ketika dihubungi berkata, bantahan penduduk itu adalah wajar kerana sebelum ini mereka sudah berdepan pencemaran bau dan sungai disebabkan penternakan babi yang tidak terkawal.

Menurutnya, beliau juga dimaklumkan projek itu masih belum mendapat kelulusan dan pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan MPKL bagi mencari jalan penyelesaian.

“Kita harap ada jalan penyelesaian dan kerajaan Selangor perlu mengutamakan kesejahteraan dan kesihatan rakyat sebelum meluluskan sebarang projek yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada penduduk, “katanya.

Sementara itu, MPKL menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya sudah mengeluarkan Notis Pemberitahuan dan Notis Kesalahan kepada pemaju atas kesalahan menjalankan kerja tanah tanpa kelulusan dan kebenaran.

Katanya, pemaju itu juga dengan serta merta diarahkan memberhentikan kerja tanah yang dilakukan bagi projek pembangunan bangunan reban ayam jenis tertutup serta membaikpulih kerosakan jalan yang disebabkan oleh kerja tanah itu.

Katanya, pemaju juga dilihat akur dengan arahan memberhentikan kerja dan tapak dipalang sudah diletakkan tali oleh MPKL.

“Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (JKOSC) yang diadakan (baru-baru ini) mengarahkan pembangunan reban ayam jenis tertutup itu dihentikan dan satu sesi perbincangan akan diadakan antara penduduk dengan pihak pemaju dalam masa terdekat. -HARIAN METRO

Loading...
Terkini