comscore
Tumpuan :
Aduan Rakyat

Penutupan persimpangan jalan undang resah pengguna

Oleh Mas Zhafri Aziz Desa

PETALING JAYA: Penutupan beberapa jalan dan persimpangan bagi mengurangkan kesesakan trafik di Petaling Jaya (PJ), Selangor menimbulkan rasa kurang senang pengguna.

Dakwa pengguna, penutupan persimpangan Jalan Gasing – Jalan Othman – Jalan Templer menyebabkan mereka perlu berhadapan kesesakan dalam kenderaan lebih lama.

Yang mana, sebelum ini hanya memakan masa kira-kira 30 minit, kini mampu mengambil masa sehingga 40 minit.

Wartawan TV9 turun padang meninjau sendiri kesesakan yang berlaku sekitar jam 5 petang, di mana ketika itu merupakan waktu puncak.

Pemerhatian mendapati, persimpangan Jalan Gasing, Jalan Othman dan Jalan Templer ditutup sehingga jam 7 petang.

Penutupan persimpangan sejak 1 Mac lalu itu menimbulkan rasa kurang selesa pengguna termasuk penduduk yang tinggal berdekatan kawasan tersebut, apabila mereka perlu membuat pusingan yang jauh untuk pulang ke rumah.

Penutupan persimpangan jalan menyebabkan kesesakan lalu lintas khususnya ketika waktu puncak di Petaling Jaya, Selangor.

“Memang ini saya setuju untuk penutupan begini, tetapi orang yang duduk dalam sini memang kami semua susah.”

“Kami tidak boleh buat pusingan kanan, di sini pula kami datang buat pusingan ‘U’ pun tak boleh. Jadi, memang susah untuk kami.”

“Saya tak boleh u-turn hujung sampai pergi Taman maju Jaya, sesak di sana dah setengah jam kemudian balik sini pergi Bulatan Assunta, sesak lagi setengah jam lagi,” keluh Govi, pengguna jalan raya.

Dakwa pengguna, pelaksanaan laluan kontra juga dilihat tidak dapat mengatasi kesesakan sepenuhnya.

“Menyusahkan orang ramai, lebih lagi pada waktu puncak. Jalan ini banyak orang guna, terlampau sesak.”

“Kena selesaikan dengan kadar segera demi memudahkan orang ramai,” kata Muhammad Zulkifli, pengguna jalan raya.

Berdasarkan pemerhatian, jarak Jalan Templer – Assunta lebih kurang satu kilometer hanya mengambil masa limit minit, tetapi sekarang 30 hingga 40 minit pada waktu puncak, sekitar jam 5 hingga 7 petang.

Difahamkan, peningkatan jumlah kenderaan kira-kira 20 peratus yang menggunakan laluan ini menjadi salah satu punca kesesakan ini berlaku.

Isu ini kami bawakan kepada Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md. Amir.

Menurutnya, penutupan jalan dan persimpangan tersebut selama tiga bulan merupakan kajian pihaknya bagi mengatasi kesesakan di kawasan tersebut.

Sekiranya langkah itu mendapat maklum balas positif, pihaknya akan terus melaksanakannya. Sebalinya jika mendapat reaksi negatif, langkah sebaliknya akan dilaksanakan dan kaedah yang lebih baik akan dicadang.

“Ada few option (beberapa pilihan) yang masih dalam kajian ataupun option itu memerlukan satu kos yang tinggi untuk selesaikan. Adakala option itu kita perlu mendapatkan feedback (maklum balas) daripada masyarakat.”

“Benda-benda ini sebabkan delay (kelewatan) untuk kita selesaikan, tetapi saya percaya kita kena banyak bersabar dan tabah untuk kita cari option yang terbaik untuk kurangkan kesesakan.”

“Nak selesaikan 100 peratus saya tak gerenti, kerana keadaan PJ, tetapi sekurang-kurangnya kita boleh selesaikan majoriti punya isu dalam soal lalu lintas dan kesesakan di PJ,” ujar Mohamad Azhan Md. Azmir, Datuk Bandar Petaling Jaya.

Tegas Azhan, pihaknya komited akan menyelesaikan segala isu berbangkit terutama melibatkan kesesakan jalan raya di Petaling Jaya.

Loading...
Terkini