comscore
Tumpuan :
Aduan Rakyat

[VIDEO] Umpama ikan dalam belat, penduduk gesa MPKj atasi jalan sesak

Oleh: Khairul Rizuan Azizan

BANGI: Kesabaran kira-kira lima ribu penduduk di sekitar Jalan Alam Sari – Kampung Sungai Tangkas di sini kini di tahap kemuncak gara-gara masalah kesesakan lalu lintas yang menghantui mereka sejak awal tahun lalu menjadi kian parah.

Manakan tidak, umpama ikan di dalam belat, kira-kira lapan ribu kenderaan tersekat dalam kesesakan lalu lintas luar biasa terutamanya ketika waktu puncak sekitar jam 7.30 pagi hingga 9.30 pagi dan 5.00 petang hingga 7.00 malam.

Tinjauan wartawan Aduan Rakyat di kawasan terbabit mendapati, kesesakan hampir 10 kilometer berlaku bermula dari persimpangan lampu isyarat German – Malaysia Institute (GMI) hingga persimpangan terowong Kampung Sungai Tangkas berhampiran Stesen KTM Komuter Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dakwa mereka, situasi itu disebabkan semakin banyak projek pembangunan perumahan baharu yang dibuka umpama cendawan muncul selepas hujan.

Berkongsi kekecewaan yang dihadapi kepada Buletin TV3, seorang penduduk, Shafie Mustafa berkata, perjalanan 2.5 kilometer yang sebelum ini hanya mengambil masa kurang lima minit kini menjadi antara 30 hingga 40 minit.

“Lama sangat dah. Kita rasa dekat setahun lebih dah dari Alam Sari keluar ke Jalan Reko ni. Kita pagi-pagi nak hantar anak sekolah lagi, nak pergi kerja, memang susahlah. Saya terpaksa menunggang motosikal ke pejabat. Hujan pun hujanlah daripada bawa kereta bertambah masanya tersangkut,”katanya.

Nada sama turut disuarakan Arshad Arman Kuti yang memohon pihak berkuasa tempatan (PBT) menghentikan sementara projek perumahan baharu di kawasan berkenaan.

“Penduduk di sini sudah bosan dengan keadaan sesak macam ni. Saya sangat berharap pihak berwajib ni hentikan dahulu pembangunan. Sepatutnya mereka selesaikan dahulu masalah trafik kat sini,” katanya.

Dakwa mereka, satu pertemuan bersama Majlis Perbandaran Kajang, MPKj telah diadakan pada Disember tahun lalu namun sehingga ke hari ini tiada tindakan diambil meskipun kedua-dua pihak telah bersetuju membina jalan alternatif di kawasan terbabit.

Menurut Pengerusi Gabungan Persatuan Penduduk Alam Sari, Laksamana Muda (B) Datuk Fadzilah Mohd Salleh, penduduk tidak pernah menghalang sebarang pembangunan, namun berharap pihak berwajib tidak terlepas pandang akses keluar dan masuk di kawasan itu

“Saya tak pasti mengapa MPKj lambat bertindak sedangkan beberapa kawasan taman perumahan baharu telah diluluskan tanpa mengambil kira akses keluar masuk penduduk di sini.”

“Masalah ini diburukkan lagi dengan pembukaan jalan di Serene Heights yang menyebabkan ramai pemandu dari Semenyih lalu di situ sebagai jalan pintas ke Bandar Baru Bangi,” katanya.

Bagi Abdullah Karim, beliau berharap pihak berwajib seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) segera campur tangan mengatasi permasalahan mereka.

“Kita tahu mana-mana kawasan perumahan menuju keluar jalan utama perlu ada empat hala. Di Alam Sari memang ada empat hala tapi bila masuk sebelah jambatan tu dia dah jadi dua hala balik,”katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPKj, Najmuddin Jemain yang ditemui berkata, masalah penduduk di kawasan yang terjejas sememangnya kini dalam perhatian pihaknya.

Ujarnya, bagi penyelesaian jangka pendek, pemaju Setia Alam telah diarah menyediakan pelan terperinci bagi cadangan melebarkan jalan di persimpangan jalan ke jambatan ESSET – Jalan Sg. Tangkas.

“Penyediaan pelan cadangan ini akan mengambil sedikit masa bagi memastikan ia mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi ketika ini,”katanya.

Manakala bagi cadangan penyelesaian jangka panjang pula, tiga syor disaran pihak perunding dilantik hasil Laporan Traffic Impact Assessments (TIA) Makro.

Ia termasuk cadangan pembinaan flyover di Jalan Reko dari arah Kajang ke UKM Bangi, melebarkan Jalan Persiaran KWSP, termasuk jambatan sedia ada kepada tiga tiga lorong dan pembinaan Lebuhraya Putrajaya Bangi (PBE).

“MPKj harap penduduk faham kerana kami di peringkat MPKJ sedang berusaha sebaik mungkin. Cuma ia akan mengambil sedikit masa sebab kita perlukan penyelesaian yang kita inginkan. Kita bimbang kalau kita buat tindakan yang tergopoh-gapah, ia akan mengundang masalah lain,” katanya.

Emelkan aduan anda berserta nombor telefon untuk dihubungi ke [email protected].

Loading...
Terkini