comscore
Tumpuan :
Artikel

Kenangi Sejarah Melalui Barangan Antik

BANTING: Pandangan umum terhadap aktiviti mengumpul barangan antik dan bersejarah yang dianggap sekadar hobi mungkin boleh ditukar perspektifnya sebagai platform mendidik khususnya kepada generasi muda untuk menerapkan kesedaran serta memupuk perasaan cinta terhadap warisan dan sejarah negara.

Pandangan tersebutlah yang mendorong Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah, 60, untuk mengabadikan pelbagai koleksi barangan antik dan bersejarah di ruangan khas yang dijadikan galeri di rumahnya yang terletak di Kampung Batu Laut, Kuala Langat di samping minatnya yang mendalam terhadap sejarah dan budaya negara.

Galeri khas di sebelah rumahnya itu siap dibina pada 2019 menempatkan lebih 500 jenis barangan antik yang dikumpul sendiri oleh Borhan sejak zaman belianya dan ada yang berusia sehingga ratusan tahun.

“Antara barangan yang paling lama adalah dulang tembaga yang dibeli pada tahun 1915, almari kayu cengal milik moyang saya berusia lebih 100 tahun, basikal bomba lama tahun 1959 yang masih lagi berfungsi sirennya dan pelbagai lagi. Pemilihan barangan adalah secara rambang dan tidak spesifik. Asal ada nilai dan cerita itu pun sudah cukup mahal.

“Contohnya saya ada simpan sehelai baju kain belacu yang kainnya diambil dan dijahit dari guni gandum (buntil) pada tahun 1950-an yang saya sangkut elok di galeri ini. Kerana cerita sebaliknya nak beritahu bagaimana susahnya orang dahulu membuat pakaian, menggunakan apa yang mereka ada berbanding kini sehelai baju boleh dibeli di mana-mana,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini