comscore
Tumpuan :
Artikel

Pembinaan Kapal Persiaran Besar Kedua China Bermula

Kredit Foto: Twitter

BEIJING: Pembinaan kapal persiaran besar buatan China yang kedua bermula secara rasmi oleh Syarikat Pembinaan Kapal Waigaoqiao Shanghai, pada Isnin.

Ia sekali gus menandakan industri pembinaan kapal China berjaya menguasai teknologi teras dalam reka bentuk dan pembinaan kapal persiaran yang besar.

Pembinaan kapal berkenaan membawa makna signifikan terhadap kebolehan China sebagai negara yang hebat dalam bidang maritim, perkilangan, serta sains dan teknologi.

Kapal sepanjang 341 meter dan lebar 37.2 meter itu mempunyai had muatan sekitar 142,000 tan, manakala kelajuan maksimumnya mampu mencapai 22.7 batu nautika sejam, dan dilengkapi 2,144 kabin penumpang.

Untuk memenuhi standard pelepasan ditetapkan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), kapal persiaran itu turut bercirikan hijau dan mesra alam.

Ia juga dilengkapi dengan kompleks besar sehingga 16 tingkat, dengan pusat persembahan dan restoran, kafe, plaza beli-belah, koridor seni, pusat kanak-kanak, spa, dan taman air.

Syarikat Pembinaan Kapal China (CSSC) bekerjasama dengan syarikat perisian penyelidikan dan pembangunan (R&D) kejuruteraan terkemuka di dunia bagi mencipta perisian reka bentuk “integrasi tiga dimensi” untuk digunakan dalam proses membina kapal itu.

Pembinaan kapal persiaran bersaiz besar secara langsung mempamerkan keupayaan pembinaan kelengkapan dan tahap teknologi komposit sesebuah negara.

Memperkasakan reka bentuk dan pembinaan kapal persiaran besar ialah projek penting dalam transformasi dan penaiktarafan industri pembinaan kapal China serta mampu meningkatkan pengaruh industri pembuatan China di arena antarabangsa.

Untuk rekod, kapal persiaran besar buatan China yang pertama memasuki fasa pembinaan substantif pada 18 Oktober 2019 dan kini projek itu berjalan lancar mengikuti jadual. – BERNAMA

Loading...
Terkini