comscore
Tumpuan :
Bencana

Banjir Walaupun Tiada Hujan Lebat

Keadaan banjir kilat di sekitar Bukit Batu, semalam. – FOTO: Ihsan APM, Pembaca

KULAI: Seramai 150 mangsa banjir kilat membabitkan 32 keluarga dari Kampung Melayu Bukit Batu ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Batu, di sini, lewat petang semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern, berkata mangsa banjir meliputi 10 bayi, 47 kanak-kanak, 73 individu dewasa, 19 warga emas dan seorang orang kurang upaya (OKU), berlindung di PPS itu selepas ia dibuka pada jam 6.30 petang.

Setakat semalam, beliau berkata, semua mangsa banjir berada dalam keadaan selamat dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Saya membuat lawatan ke PPS itu dan mendapati keadaan terkawal, manakala semua mangsa banjir berada dalam keadaan baik.

“Pelbagai pihak menawarkan bantuan dan sumbangan, termasuk Yayasan Sultan Ibrahim, bagi menampung keperluan mangsa banjir.

“Saya yakin banjir kilat itu berpunca daripada paras air Sungai Pontian yang naik mendadak walaupun tiada hujan lebat di kawasan perkampungan berkenaan.

Sebaliknya, hujan hanya sederhana pada pagi semalam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, beberapa mangsa banjir turut kongsikan gambar kejadian melalui media sosial dengan memaklumkan air semakin naik biarpun tiada hujan lebat.

Malah, terdapat dalam kalangan mereka juga mendakwa cuaca ketika kejadian adalah agak cerah. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini