comscore
Tumpuan :
Bencana

YPM Peruntuk RM300,000 Bantuan Bencana Untuk Pelajar

 

FOTO: Berita Harian

KUALA NERUS: Yayasan Pelajaran MARA (YPM) menyediakan peruntukan RM300,000 tahun ini bagi membantu pelajar yang ditimpa bencana termasuk banjir.

Pengerusinya Datuk Mohd Razman Yaacob berkata setakat ini peruntukan di bawah Skim Bantuan Khas Persekolahan itu telah disalurkan kepada 750 pelajar dari lapan negeri yang terkesan akibat musibah banjir, kebakaran dan tanah runtuh.

Beliau berkata selain wang tunai, bantuan turut diberi dalam bentuk peralatan pembelajaran seperti pakaian sekolah serta alat tulis.

“YPM telah menyalurkan peruntukan hampir RM100,000 kepada 750 pelajar sekolah rendah dan menengah berkenaan yang terkena pelbagai musibah.

“Lapan negeri terlibat ialah Perak, Kedah, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Pahang, Johor dan Terengganu,” katanya selepas Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pesisir Pantai Kuala Nerus di Sekolah Menengah (SMK) Batu Rakit di sini hari ini.

Pada program tersebut, seramai 176 pelajar dari empat sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus menerima bantuan berjumlah lebih RM30,000.

Terengganu menjadi lokasi kesembilan jelajah Program CSR Pesisir Pantai YPM yang bermula di Pulau Pangkor, Perak.

Menurut Mohd Razman peruntukan sebanyak RM300,000 untuk bantuan bencana itu hanya jumlah awal dan akan ditambah sekiranya terdapat keperluan yang kritikal melibatkan pelajar. – BERNAMA

Loading...
Terkini