comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

10 projek flagship NETR, potensi pelaburan sehingga RM1.85 trilion menjelang 2050 – Rafizi

(Dua dari kanan) Rafizi pada pelancaran NETR Fasa 1 sempena Invest Malaysia anjuran Bursa Malaysia Bhd bersama Maybank Bhd di sini, hari ini. Foto – Ihsan FB Rafizi

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) fasa pertama, dengan 10 projek flagship NETR yang diperkenal bakal membawa peluang pelaburan antara RM435 bilion hingga RM1.85 trilion menjelang 2050.

“Pelancaran NETR menandakan perubahan penting dalam pemikiran kita. Ia bukan sahaja dokumen yang mengandungi langkah sementara untuk memenuhi sasaran sifar bersih negara. Tetapi ia adalah gabungan strategi dan inisiatif yang boleh transformasi ekonomi, mata pencarian dan kedudukan negara di dunia,” kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada pelancaran NETR Fasa 1 sempena Invest Malaysia anjuran Bursa Malaysia Bhd bersama Maybank Bhd di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad, Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift.

NETR Fasa 1 menyasarkan peluang pelaburan melebihi RM25 bilion serta mewujudkan 23,000 peluang pekerjaan yang berkemahiran dan bernilai tinggi, selain mengurangkan 10,000 gigagram (Gg) pelepasan karbon dioksida setara setahun.

10 projek flagship merangkumi enam pemacu peralihan tenaga, iaitu kecekapan tenaga (EE), tenaga boleh baharu (TBB), hidrogen, biotenaga, mobiliti hijau, dan pemerangkapan, penggunaan, dan penyimpanan karbon.

Satu memorandum persefahaman turut dimeterai antara UEM Group Bhd dan ITRAMAS Corporation Sdn Bhd bagi membangunkan sebuah Loji Janakuasa Solar PV Hibrid satu gigawatt (GW) bersepadu beserta Taman Perindustrian TBB.

“Projek ini dianggarkan mempunyai kapasiti terpasang TBB yang terbesar di Asia Tenggara dan melibatkan pelaburan RM6 bilion oleh pelabur-pelabur terkemuka antarabangsa,” katanya.

Antara projek berimpak tinggi yang turut bakal dilaksanakan di bawah NETR Fasa 1 ialah pembangunan solar terapung dengan potensi kapasiti keseluruhan 2,500 megawatt (MW) di empangan hidro Tenaga Nasional Bhd bagi penjanaan elektrik merangkap stor simpanan tenaga serta pembinaan 4.5 MW solar bumbung di kediaman melalui sistem penyewaan, dengan kapasiti sehingga 10 kilowatt (kW) bagi setiap rumah.

Selain itu, tiga projek bersepadu pengeluaran hidrogen hijau akan menjadikan Sarawak sebagai hab hidrogen hijau serantau. Komponen projek merangkumi pembinaan kilang pengeluaran di Kuching menjelang 2025 untuk kegunaan domestik dan dua kilang pengeluaran di Bintulu menjelang 2027 bagi tujuan eksport.

Bagi mobiliti hijau, pemasangan 10,000 stesen pengecas kenderaan elektrik di lebuh raya dan bangunan komersial, serta projek elektrifikasi pengangkutan awam menjelang 2025..

Serta pemacu peralihan tenaga CCUS, projek rintis di lapangan gas dengan kandungan karbon dioksida tinggi di Kasawari dan Lang Lebah di perairan Sarawak dijangka beroperasi masing-masing menjelang 2026 dan 2028.

Pelancaran NETR Fasa 2 dijangka dimuktamadkan dalam beberapa minggu akan datang, berfokuskan laluan rendah karbon, campuran tenaga utama dan sasaran pengurangan pelepasan GHG oleh sektor tenaga.

Loading...
Terkini