comscore
Tumpuan :
Artikel

10 Syarikat Tempatan Berpotensi Bertaraf Unicorn Menjelang 2025

Oleh Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: Cradle Fund Sdn. Bhd.(Cradle) percaya terdapat 10 syarikat tempatan berpotensi menjadi syarikat bertaraf unicorn dengan nilai lebih AS$1 bilion (RM4.5 bilion) menjelang 2025.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Norman Matthieu Vanhaecke bagaimanapun berkata, sasaran ketika ini kekal 5 syarikat bertaraf unicorn.

Pelan Hala Tuju Ekosistem Syarikat Pemula Malaysia 2021-2030 atau SUPER menyasarkan 5,000 syarikat pemula dan lima syarikat bertaraf unicorn menjelang 2025.

“Setakat ini, kami sudah ada satu syarikat bertaraf unicorn dengan Carsome dan satu lagi adalah Graphjet Technology yang akan disenaraikan di Nasdaq tidak lama lagi.” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Cradle dengan Microsoft Malaysia (Microsoft) disaksikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba..

Menerusi MoU ini, Cradle akan bekerjasama dengan program Microsoftfor Startups Founders Hub dengan menyediakan peluang meningkatkan kemahiran, memberi panduan dari segi teknikal, menyediakan capaian kepada Microsoft Mentor Network berserta akses percuma kepada GitHub Enterprise dan peningkatan produktiviti dengan Microsoft 365 serta kredit awan Azure bernilai sehingga AS$150,000 untuk membangunkan produk mereka.

Beliau menambah satu kajian dikendalikan KPMG-HSBC menyenarai 10 syarikat pemula yang berpotensi tinggi.

“Kami juga menilai semua syarikat pemula di Malaysia untuk mengenalpasti syarikat yang berpotensi taraf unicorn dan mempunyai program khusus di bawah SUPER dikenali sebagai MY-Unicorn untuk membangunkan syarikat tempatan ke arah taraf unicorn” jelasnya.

Terdapat lebih 2000 syarikat pemula aktif yang didaftarkan dalam portal mystartup.gov.my dan kebanyakkan syarikat pemula yang besar adalah dari Selangor dan Pulau Pinang.

Cradle yang menjalin hubungan strategik dengan Sarawak dan Johor akan ke Sabah hujung tahun ini.

“Kami memperluaskan rangkaian program MYStartup ke seluruh negara dan ingin membangunkan syarikat pemula lain dalam negara juga kerana kami mempunyai sasaran tinggi iaitu 5,000 syarikat pemula menjelang 2025 ”  katanya.

Loading...
Terkini