Tumpuan :
Detik Niaga

3 prinsip utama kewangan Islam berpotensi lonjak ekonomi- Gabenor BNM

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour

Oleh: Suzila Idayu Yaacob

KUALA LUMPUR: Kewangan Islam berpotensi melonjakkan ekonomi melalui tiga prinsip utama iaitu Maqasid Shariah, inovasi dan integrasi global.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, prinsip terbabit adalah penting dalam melaksanakan reformasi ekonomi untuk kemakmuran dan pembangunan sejagat.

“Saya memuji industri kewangan Islam Malaysia kerana telah membuat lonjakan lebih setengah dekad yang lalu untuk menerima Pakatan Berasaskan Nilai (VBI).

“Penjajaran strategik dengan Maqasid Shariah ini telah membolehkan industri meningkat manakala sektor lain masih di peringkat penerokaan menuju proses yang lebih beretika dan mampan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan di Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur ke-19 (KLIFF 2024) di Kuala Lumpur.

Katanya, Bank Negara turut menekankan keperluan industri untuk meneroka kepelbagaian instrumen syariah termasuk memanfaatkan modal kewangan sosial seperti zakat dan wakaf.

Dalam belanjawan 2025 juga, RM100 juta diperuntukkan kerajaan untuk dana padanan bagi menggalakkan inovasi kewangan membabitkan kewangan Islam.

Justeru, pemain industri perlu merebut insentif diberikan untuk melakukan inovasi dalam penawaran produk, terutama membiayai peralihan perniagaan dan keterjaminan makanan.

Mengenai integrasi global, beliau menekankan perkembangan pesat pasaran kewangan Islam global, yang menarik semakin banyak pelabur antarabangsa dan memacu pertumbuhan ekonomi di pelbagai rantau, termasuk pasaran baru seperti Filipina, Asia Tengah dan Asia Utara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini