comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

500 sukarelawan Nestlé kumpul hampir 4 tan sampah di 8 lokasi di seluruh Malaysia

PETALING JAYA: 500 kakitangan Nestlé telah menyertai inisiatif pembersihan pantai dan laut tahunan sempena ulang tahun syarikat yang ke-110 di Malaysia. Pada tahun ini, selain mengumpulkan hampir 4 tan sampah di enam pantai, Nestlé juga melaksanakan aktiviti pembersihan bawah laut di Pulau Tioman, Pahang, dan Pulau Mabul, Sabah.

Pasukan penyelam di Pulau Mabul juga telah menanam 110 karang di bawah penyeliaan pakar. Dalam usaha untuk terus mengukuhkan komitmen Syarikat terhadap kerjasama antara sektor awam dan swasta demi mempercepatkan peralihan kepada masa depan yang lebih hijau, inisiatif tahun ini turut disertai oleh 70 sukarelawan daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Lokasi aktiviti pembersihan tahun ini meliputi Pantai Cunang dan Pantai Sg. Kajang, Selangor; Pantai Saujana, Negeri Sembilan; Pantai Teluk Bahang, Pulau Pinang; Pantai Batu Buruk, Terengganu dan Teluk Likas, Sabah. Di samping itu, kerja pembersihan bawah laut dan pemuliharaan terumbu karang telah dilaksanakan di Pulau Tioman dan Pulau Mabul.

Selepas sampah dikutip, semua sisa telah diasingkan mengikut jenis bahan kitar semula, termasuk plastik, dan dihantar ke tempat pencucian dan kitar semula, lantas membolehkan bahan tersebut digunakan semula dan memastikan ia tidak sampai ke laut. Sementara itu, bahan yang tidak boleh dikitar semula telah dihantar oleh rakan kitar semula Nestlé, iaitu KPT Recycle Sdn Bhd, ke loji sisa kepada tenaga.

Aktiviti membersihkan pantai Nestlé Malaysia bermula pada 2019 sebagai inisiatif sukarelawan kakitangan di bawah program Nestlé Cares. Setakat ini, lebih daripada 12 tan sisa telah dikutip menerusi aktiviti pembersihan pantai dan laut tahunan ini. Usaha ini mencerminkan komitmen Syarikat untuk memastikan tiada plastik atau bahan pembungkusan sampai ke laut.

Loading...
Terkini