comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

79 peratus PKS tempatan yakin dengan prospek syarikat

KUALA LUMPUR: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia menyifatkan 2024 sebagai tahun berpotensi dari segi prospek pertumbuhan walaupun wujud kebimbangan berkaitan kos dan inflasi, kata Laporan Sentimen PKS Employment Hero.

Kaji selidik yang mendapatkan pandangan 540 pemimpin perniagaan PKS Malaysia pada November-Disember 2023, mendapati majoriti atau 79 peratus responden yakin terhadap prospek pertumbuhan syarikat masing-masing.

Selain itu, 50 peratus responden menjangkakan ekonomi Malaysia akan mencatat prestasi lebih baik dalam tempoh 12 bulan berikutnya manakala 18 peratus percaya keadaan sebaliknya dan 32 peratus pula memilih untuk terus berhati-hati dengan prospek yang menyederhana.

“Majoriti PKS di Malaysia sudah mula berasa lebih yakin selepas mengharungi beberapa tahun yang mencabar manakala kalangan yang masih bimbang pula menguruskan jangkaan dan perniagaan secara lebih ketat,” kata Pengarah Urusan Employment Hero (Asia), Kevin Fitzgerald.

Laporan itu juga mendapati sebanyak 48 peratus daripada responden menganggap kenaikan kos dan inflasi sebagai cabaran terbesar mereka bagi tahun ini.

Malah, dapatan kaji selidik itu turut membangkitkan dilema perniagaan bersaiz sederhana yang terpaksa bergelut dalam usaha meningkatkan kemahiran dan kekurangan tenaga kerja berikutan faktor termasuk jangkaan bayaran gaji lebih tinggi, ketidakpadanan antara keperluan industri dan latihan kemahiran serta peningkatan penghijrahan atau aliran keluar tenaga mahir yang lebih tinggi daripada purata.

“Saya berharap analisis sentimen perniagaan di pasaran Malaysia ini menjadi petunjuk penting bagi pemimpin perniagaan dalam mengemudi landskap dinamik bagi 2024.

“Sama ada ini membabitkan kaedah baharu, pelarasan semula proses operasi atau mengoptimumkan peruntukan sumber, kesemua aspek yang dipacu oleh data ini boleh membantu aspek pembuatan keputusan yang proaktif,” kata Fitzgerald.

Menurut kaji selidik itu, tiga peluang terbesar PKS pada 2024 merangkumi transformasi digital, kecerdasan buatan dan automasi (32 peratus), pengembangan global dan e-dagang (31 peratus) serta pendidikan pekerja dan latihan (28 peratus).

Selain itu, antara cabaran bagi PKS Malaysia pada tahun ini termasuk aliran tunai (28 peratus) dan jumlah perolehan hasil serta pelanggan yang rendah (23 peratus).

Loading...
Terkini